|Saturday, May 25, 2013

Zin cabar dedahkan pengurusan dana RM 300 juta 

Oleh YASMIN RAMAN

yasmin@themalaysiantimes.com

 

Kuala Lumpur : Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mencabar Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak berdolak-dalih dalam isu berkaitan isu geran Selangorku berjumlah RM 300 juta sebaliknya mendedahkan fakta sebenar mengenai pengurusan dana tersebut yang dikatakan dibelanjakan untuk rakyat serta projek pembangunan kecil.

 

Persoalanya bukanya kutipan hutang tetapi berapa jumlah sebenar kutipan hutang dari Talam Corporation dan bagaimana jumlah tersebut diagihkan ataupun dibelanjakan?

Apabila kita bercakap mengenai faktor kesejahteraan rakyat yang melibatkan projek kecil ataupun besar, Kerajaan negeri sepatutnya bersikap terbuka – berani kerana benar untuk mendedahkan kepada rakyat mengenai pengurusan kewangan tersebut yg melibatkan nilai yg besar. Ini kerana rakyat berhak mengetahuinya kerana ianya melibatkan duit rakyat.

 

Dimanakah nilai akauntabiliti kerajaan negeri Selangor dalam isu ini?

 

Semalam, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menafikan dakwaan peruntukan RM300 juta di bawah Geran Selangorku diperoleh daripada sumber yang meragukan.

 

Faekah mendakwa bahawa ia adalah sumbangan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri selain keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) menerusi pengambilalihan hutang-hutang lapuk syarikat Talam Corporation (Talam) dan penstrukturan semula projek Canal City.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kooordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd Zin yang menganggap tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mendedahkan sumber Geran Selangorku merupakan contoh paling sesuai menggambarkan betapa Kerajaan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) negeri itu mengamalkan politik kotor.

 

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo pula mempersoalkan kenyataan media Pejabat Menteri Besar yang menyatakan pemilihan kontraktor bagi menjalankan projek infrastruktur oleh jawatankuasa berkenaan dibuat berdasarkan harga tender terendah dan menepati spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

“Anehnya, saya mendapat butiran taklimat Khalid kepada para EXCOnya yang jelas sekali menunjukkan pemberian Geran RM 300 juta ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Menteri Besar. Jika ia berdasarkan sebut harga terendah mengapa pula kelulusan bergantung kepada Menteri Besar?,” jelas Khir dalam kenyataan blognya.

 

Menurut Khir, berdasarkan carta aliran pemberian geran RM 300 juta yang diedarkan, Khalid dilihat berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa bakal menjalankan projek-projek yang telah ditetapkan.

 

“Jika dilihat dengan teliti, bukankah ini satu bentuk rasuah? Sekiranya benar mereka (Pakatan Rakyat) sebuah kerajaan yang telus dan terbuka, mengapa perlu berselindung?, tak perlu berdolak-dalih,” sindirnya.

 

Khir menambah, senarai Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku ini juga dianggotai sebahagian besar oleh para pegawai Khalid di Pejabat Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated.

 

“Adalah sangat aneh dan luar biasa bagi satu peruntukan yang menyamai 20% bajet kewangan negeri dilakukan tanpa pembabitan para pegawai kanan kerajaan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

 

“Saya tidak pasti yang mana satu Khalid berbohong, sama ada di Retreat bersama EXCO beliau di Melaka atau di dalam Dewan Negeri Selangor dan juga kenyataan akhbar pejabat beliau,” ujarnya.

 

Khir turut mempersoalkan kenyataan Khalid berkenaan kaedah pemberian projek dalam pelaksanaan geran yang dilihat sebagai satu pembohongan secara terang.

 

“Cuma saya sedikit bersyukur Khalid sekarang tidak lagi bercakap soal wang berpuluh- puluh bilion. Menjadi harapan agar pengumuman mengenai ratusan juta seperti geran Selangorku ini juga tidak tinggal setakat cakap-cakap kosong dan untuk iklan papan tanda publisiti Menteri Besar sahaja,” jelasnya - TMT