|Friday, February 24, 2017

Tragedi katamaran: SAR diteruskan pada hari ke-21 

41485947166_SARMengalum

KOTA KINABALU, 17 Feb: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong karam yang masih hilang di perairan Sabah  belum menemukan petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-21 hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata sektor pencarian kini meliputi kawasan seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Miri (Sarawak) dan Brunei.

Pencarian melibatkan sembilan aset, masing-masing tiga milik APMM, tiga milik Pasukan Polis Marin, dua milik Tentera Laut Diraja Malaysia dan satu milik agensi keselamatan Brunei.

“Setakat pagi ini, tiada sebarang petunjuk baharu dilaporkan namun operasi SAR akan diteruskan sehingga mendapat arahan seterusnya daripada pihak atasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata keadaan di sektor pencarian pada pagi ini adalah baik dengan cuaca cerah dan berharap keadaan itu akan  membantu pasukan SAR dalam operasi tersebut.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut.

— Bernama