|Tuesday, June 18, 2013

Tema hari kebangsaan: Pembangkang sendiri tidak sepakat 

 

 

 

 

 

 

Buat pertama kali dalam sejarah negara, sambutan kemerdekaan yang selama ini menyatukan rakyat seluruh negara, kini mencetuskan percanggahan berlarutan gara-gara kontroversi tema Hari Kebangsaan yang cuba dipolitikkan oleh pihak pembangkang.

 

Sejak 1970, tema kemerdekaan yang dipilih tidak pernah dibantah, sebaliknya dijadikan pembakar semangat supaya rakyat lebih bersatu. Perkataan masyarakat, perpaduan, disiplin, dan bersatu, antara yang paling kerap digunakan untuk menekankan kesepakatan antara rakyat. Manakala perkataan wawasan dan transformasi menunjukkan hasrat negara untuk mencapai status maju.

 

Namun, tema “Janji Ditepati” yang dipilih untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, ditolak bulat-bulat oleh pihak pembangkang dengan alasan ia berbaur politik yang hanya memihak kepada kerajaan sekaligus meminggirkan parti-parti bukan kerajaan.

 

Apa yang menarik ialah, tiga negeri yang dikuasai oleh pembangkang, Selangor Kedah dan Kelantan masing-masing mengutarakan tiga tema yang berbeza, iaitu “Sebangsa, Sejiwa, Senegara”, “55 Tahun Kemerdekaan Menerajui Perubahan” dan “Terus Berbakti”.

 

Ini menunjukkan bahawa tidak wujud kesepakatan di kalangan mereka sesama sendiri kerana masing- masing bertegas mahu menyambut Hari Kemerdekaan mengikut tema negeri masing-masing.

Jika pembangkang menuduh kerajaan mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan melalui tema pilihan, bukankah mereka juga melakukan perkara yang sama dalam hubungan ini? Jika mereka sendiri tidak dapat bersetuju memilih satu tema bersama, bagaimanakah mereka dapat menyatukan rakyat di bawah satu panji ?.

 

Sejarawah negara, Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman berkata, negara pernah menyambut Hari Kemerdekaan selama 13 tahun dengan penuh semangat patriotic tanpa berbelah bahagi.

 

“Namun, isu tema kemerdekaan tahun ini sememangnya yang paling hebat pernah berlaku sepanjang 55 tahun kita merdeka. Negara pernah menyambut kemerdekaan tanpa tema dan logo, namun sambutannya jauh lebih patriotik dari sekarang.

 

“Kenangan sambutan kemerdekaan dahulu masih terpahat di hati, dan ketika itu politik tidak menghalang perpaduan,” kata beliau.

 

Beliau mencadangkan semua pihak bermusyawarah dalam menentukan sesuatu tema kemerdekaan sebelum dikemukakan kepada rakyat supaya isu sebegitu tidak timbul lagi di kemudian hari.

 

“Tema dan logo yang dipilih ditetapkan oleh pihak berkuasa. Walaupun begitu, saya berpendapat sepatutnya ada musyawarah antara semua pihak bagi mencari kesesuaian kerana isu ini melibatkan semua rakyat, bukannya satu pihak sahaja.

 

“Seandainya terdapat unsur politik dalam tema yang dipilih, besar kemungkinan ia akan menimbulkan perbalahan dan jika tidak dibendung akan mencetuskan perpecahan. Apabila tema Hari Kebangsaan dipolitikkan, inilah yang akan berlaku,”ujar beliau.

 

Beliau bagaimanapun menggesa rakyat supaya terus bersatu teguh mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

 

“Tema mungkin satu aspek penting dalam sambutan kemerdekaan, tapi ia tidak dapat mengatasi kepentingan Jalur Gemilang yang melambangkan kedaulatan negara.

 

“Setiap tahun ketika Hari Kemerdekaan, Jalur Gemilang dikibarkan sebagai simbolik negara kita bebas daripada penjajahan. Justeru, kita harus berbangga dengan jalur gemilang yang kita ada,” ujar beliau.

 

Datuk Prof Dr Ramlah Adam

Menurut ahli akademik, Datuk Prof Dr Ramlah Adam, isu tema kemerdekaan yang dipolitikkan boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap kesepaduan dan semangat patriotik negara.

 

“Persoalan ini berkait dengan tema kebangsaan. Jadi walau apa perbezaan politik sekalipun, sepatutnya masalah tema tidak timbul kerana kita bercakap tentang soal negara, soal kemerdekaan kita. Kemerdekaan negara bermakna ini soal kebangsaan. Bila fikirkan sebagai negara, kita mestilah bersatu kerana rakyat dalam tiap-tiap negeri adalah warganegara Malaysia.”

 

Beliau berkata, isu slogan adalah hak mutlak Kerajaan Persekutuan, jadi setiap pihak sepatutnya akur dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

 

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia melahirkan sesuatu slogan atau dasar kerana itu hak Kerajaan Persekutuan sebagai pemerintah.

 

“Walaupun kerajaan yang memerintah adalah parti yang berasingan, tetapi kita tidak boleh menolak keputusan kerajaan kerana ia melibatkan persekutuan. Kalau kerajaan Persekutuan dah cadangkan atau umumkan apa-apa sebelum ini, negeri-negeri lain sepatutnya mengikut sebab mereka adalah anggota persekutuan Malaysia,” katanya.

 

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kebangkitan semangat anti-kebangsaan yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang.

 

“Maksud anti-kebangsaan bagi saya ialah anti-patriotik. Kemerdekaan berkait rapat dengan soal kebangsaan dan semangat patriotisme negara. Bila bercakap pasal patriotisme, ia menunjukkan perasaan sayang dan cinta kita kepada negara.

 

“Kalau kita lebih mementingkan slogan masing-masing, maknanya kita mementingkan negeri masing- masing dan bukannya memikirkan tentang Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang kita duduk di dalamnya. Ini akan menghasilkan keadaan berpecah belah pada masa depan.”katanya.

 

Katanya lagi, semangat kenegerian yang menebal mungkin melahirkan pemisahan antara negeri dalam Malaysia.

 

Isu ini juga akan mendorong pemisahan sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pulau Pinang pada 1948, apabila mereka menolak penyatuan dengan negeri-negeri lain untuk membentuk Negeri Melayu Bersekutu. Justeru, berlaku pemisahan dengan negeri lain dengan Pulau Pinang.

 

“Kalau negeri tu cuba memisahkan sambutan mereka dengan Kerajaan Persekutuan, ia akan melahirkan semangat kenegerian yang tebal, menghancurkan perpaduan rakyat dengan negeri lain, sekaligus menyebabkan pemisahan negeri,”katanya lagi.

 

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo menyifatkan tindakan pembangkang menolak tema yang dikemukakan oleh kerajaan sebagai tidak relevan.

 

“Kita tidak nampak apa-apa masalah tentang tema terbabit, kecuali jika mereka sendiri tidak berniat untuk menunaikan janji mereka. Kalau mereka benar-benar jujur, mereka sepatutnya menerima tema ini.

 

“Tema yang dikeluarkan adalah hasrat kita untuk menunaikan janji kepada rakyat, dan janji harus ditepati walau apapun yang berlaku. Tema ini diputuskan setelah mendapat pendapat pandangan rakyat dan persetujuan kabinet,” ujar beliau.

 

Menurut beliau, kegagalan kerajaan Pakatan menetapkan satu tema untuk negeri-negeri pembangkang menunjukkan mereka sendiri tidak mempunyai hala tuju yang sama.

 

“Tiga tema berbeza untuk negeri-negeri pembangkang menunjukkan mereka sebenarnya mempunyai tanda aras perjuangan yang berbeza walaupun berada dalam satu parti.

 

“Kelantan dan Kedah tidak menerima tema sebangsa, sejiwa, senegara, kerana kalau dari segi Islam, kita tidak boleh terima tema tersebut kerana islam mengiktiraf perbezaan bangsa, bukannya sebagai satu bangsa.”