|Sunday, May 26, 2013

Survival GERAKAN menjelang PRU-13 

 

 

 

 

 

 

KUALA LUMPUR : Sejak ditubuhkan pada 1968, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) telah melalui pelbagai fasa naik dan turun dalam berpolitik. Dari kepimpinan Professor Syed Hussain Al-Attas hinggalah kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.GERAKAN telah berada di bawah kepimpinan empat Presiden dan individu yang paling lama memegang jawatan tersebut adalah Tun Dr. Lim Keng Yaik iaitu selama 27 tahun dan yang paling singkat adalah Syed Hussain iaitu satu tahun (1968-1969).

 

Secara dasarnya, GERAKAN dianggotai 80 peratus ahli dari bangsa Cina, 15 peratus dari bangsa India dan baki 5 peratus dari ahli berbangsa Melayu dan lain-lain.GERAKAN bermula sebagai parti pembangkang dan berdiri kukuh di Pulau Pinang selepas memenangi majoriti kerusi yang ditandingi di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum tahun 1969.

 

Bagaimanapun GERAKAN telah menyertai Barisan Nasional pada 1973 dan kekal menjadi parti dominan di Pulau Pinang hingga 2007 sebelum mengalami kekalahan yang teruk kepada parti DAP pada PRU-12 tahun 2008.Kekalahan pada 2008 telah meletuskan beberapa kontroversi di dalam parti seperti perletakan jawatan dua ahli tertinggi parti iaitu Datuk Lee Kah Choon dan Datuk Dr Tan Kee Kwong.

 

Kedua-dua individu ini kemudiannya menyertai pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Selangor. Turut menurut langkah mereka dengan meletak jawatan adalah Ahli Majlis Pusat GERAKAN, Datuk Dr Toh Kin Woon.Perletakan jawatan oleh Timbalan Presiden, Datuk Rhina Bhar pada 12 Mei 2008 atas dasar tentangan beliau terhadap keputusan Presiden, Keng Yaik dan Tsu Koon yang tidak meletakkan calon di kalangan ahli berbangsa India pada PRU-12.Natijahnya, GERAKAN kini hanya mempunyai dua kerusi di peringkat Parlimen dan kalah satu-satunya kerusi di peringkat Kabinet.

 

Tsu Koon walau bagaimanapun telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2009. Beliau bagaimanapun dikhabarkan tidak akan bertanding pada PRU-13 akan datang.

 

 

Teng Chang Yeow

GERAKAN dilihat terus menyepi selepas PRU-12 dan Tsu Koon sendiri dilihat tidak begitu bersedia untuk memberi sebarang kenyataan berkenaan GERAKAN. Situasi tersebut menimbulkan persoalan yang lebih menjurus, adakah GERAKAN telah hilang taring dan bakal mengundur diri dari arena politik?Pelantikan Setiausaha Agung GERAKAN, Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang pada 22 April 2012 seakan kembali memberi harapan kepada parti tersebut untuk kembali berdiri walaupun bakal berhadapan tugas sukar untuk menyingkirkan DAP dari Pulau Pinang.

 

The Malaysian Times (TMT) telah menghubungi Chang Yeow dan beliau mejelaskan bahawa GERAKAN masih dengan perjuangan politik seperti dahulu dan parti itu yakin akan kembali berlari pada PRU-13 akan datang.

 

“Kesukaran pada 2008 langsung tidak menjejaskan semangat juang GERAKAN malah kami telah belajar untuk memperbaiki kesilapan lalu. Kami juga komited dalam memastikan calon-calon GERAKAN adalah winnable candidates serta bakal membawa kemenangan kepada BN,” ujar beliau.

 

Ketika diminta mengulas berkenaan peluang GERAKAN untuk kembali mentadbir di Pulau Pinang, beliau menjelaskan bahawa walaupun berhadapan misi yang agak sukar, beliau yakin ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana rakyat Pulau Pinang telah menyedari bahawa DAP bukanlah pentadbir yang efisien dan kebanyakan janji hanyalah tinggal janji yang tidak dikotakan.

 

“Dengan sokongan dari rakyat, saya yakin BN mampu mengambil semula Pulau Pinang dari tangan DAP. Rakyat telah memberi peluang kepada DAP namun rakyat juga telah sedar bahawa DAP bukanlah parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat namun tidak lebih dari sekadar janji politik,” tegas beliau.TMT turut bertanyakan mengapa Ketua Menteri Pulau Pinang memilih untuk berdebat dengan MCA dan bukan GERAKAN berkanaan isu pentadbiran negeri dan beliau menjelaskan bahawa tajuk perdebatan itu sendiri adalah berkenaan dua parti tersebut dan GERAKAN tidak berminat untuk menyertai mana-mana debat kerana lebih fokus kepada usaha menawan semula Pulau Pinang.

 

Datuk Mah Siew Keong

Timbalan Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong berpendapat bahawa parti tersebut sedang mendapatkan semula rentak dan menjangka akan memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU-13 akan datang.“Sebelum ini parti telah memenangi kerusi di Gerik dan Simpang Renggam. Gerik walau bagaimanapun telah diserah kepada UMNO dan GERAKAN telah memperoleh kerusi Taiping.

 

“Walaupun 2008 mencatatkan memori hitam buat GERAKAN namun kami yakin lebih banyak kerusi akan diperoleh pada PRU-13 dan fokus parti hanyalah pada memastikan BN memenangi PRU-13 dan terus mentadbir negara,” kata beliau.Ketika ditanya berkenaan status Tsu Koon, beliau memaklumkan bahawa walaupun Tsu Koon telah mengumumkan tidak akan bertanding para PRU-13, beliau akan terus memberi sokongan kepada ahli-ahli GERAKAN dan jadual kempen telah disusun di mana Tsu Koon akan turun dan membantu kempen-kempen parti.

 

Survival parti-parti komponen seperti GERAKAN dan PPP dilihat kurang meyakinkan dalam disenarai pendek sebagai calon pada PRU-13 berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu. Cabaran kepada kedua-dua parti tersebut adalah menyenaraikan ‘winnable candidates’ dalam memastikan pembahagian kerusi mampu memihak kepada mereka untuk terus kekal sebagai parti komponen BN.

 

Walaupun PPP dan GERAKAN dikatakan berseteru dan tidak bersetuju dalam banyak perkara namun TMT yakin mereka melihat pada satu matlamat yang sama iaitu memastikan BN menang dan terus kekal sebagai parti pemerintah –TMT