Allegiance to Daesh earns jail for factory technician
October 12, 2017
Four other suspects in killing of Kim Jong Nam named in court
October 12, 2017

Skandal Sabah: SPRM panggil 45 saksi bantu siasatan

SEMPORNA, 12 Okt: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 45 saksi termasuk tujuh yang ditahan reman berhubung penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan memanggil saksi-saksi lain dalam tempoh terdekat ini bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil semua yang terlibat, termasuk sesiapa yang boleh membantu siasatan kerana isunya kita melihat lebih 70 projek di Sabah melibatkan dana peruntukan RM1.5 bilion diseleweng.

Ini termasuk akan melakukan tangkapan cuma beri masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan di sini, hari ini.

Berhubung LRA Sungai Intan itu, katanya SPRM selaku keluarga angkat kepada Kampung Sungai Intan turut kecewa kerana projek yang dinanti penduduk selama 30 tahun itu berakhir dengan LRA tersebut tidak berfungsi ekoran kekurangan sumber air.

“Penduduk kampung sehingga kini terpaksa bergantung dengan air perigi dan menerima bekalan air terawat hanya dalam sekali atau dua kali seminggu,” katanya.

LRA Sungai Intan yang dinaik taraf dan siap pada tahun lalu itu merupakan antara 70 projek di siasat SPRM.

Selain projek LRA Sungai Intan itu, Dzulkilfi berkata terdapat projek lain di Semporna yang turut menjadi perhatian pihak SPRM.

“Memang ada, tapi SPRM Sabah akan kemas kini perkara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong bahawa partinya bersedia disiasat SPRM, Dzulkifli berkata siasatan pihaknya bukan berdasarkan parti politik tetapi melihat kepada penglibatan salah guna kuasa dan rasuah terhadap peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

“Lihat dari sudut tangkapan bukan anggota Parti Warisan Sabah sahaja yang di tahan. Pendirian siasatan SPRM adalah berdasarkan keterangan yang diperoleh, dan akan diperoleh tanpa melihat sudut penglibatan parti politik kerana isu rasuah dan salah guna kuasa adalah lebih daripada politik,” katanya.

Sehingga kini SPRM menahan tujuh individu terdiri daripada empat ahli politik, dua kontraktor serta seorang penjawat awam sebuah kementerian persekutuan.

Dzulkifli berkata selepas Sabah, SPRM turut memfokuskan siasatan ke negeri-negeri lain.

Comments are closed.