|Saturday, May 25, 2013

Saya tetap akan bertanding – Tee Keat 

Oleh YASMIN RAMAN

yasmin@themalaysiantimes.com.my

 

KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tetap akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pandan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

 

Beliau berkata, tiada sebab untuk dirinya menyerah kalah meskipun namanya telah digugurkan daripada barisan Kabinet ekoran kekalahan pada pemilihan parti pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dua tahun lalu.

 

“Dalam apa keadaan sekalipun hasratnya untuk bertanding itu tidak pernah luntur bagi mencapai matlamat yang telah dilandaskan Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Ong Tee Keat

“Saya tetap akan bertanding dan saya berhak bertanding,” kata-kata semangat itu dilontarkan oleh Tee Keat dalam satu temubual eksklusif bersama editor The Malaysian Times di sini hari ini.

 

Beliau berkata, perkataan penat dan patah semangat tidak pernah wujud dalam diari hidupnya kerana Ahli Parlimen Pandan itu percaya bahawa beliau telah menjalankan amanah rakyat.

 

“Saya tetap menjalankan tanggungjawab saya seperti biasa meskipun saya hanya ahli biasa dalam Barisan Nasional (BN). Ini pendirian saya,” ujarnya.

 

Untuk rekod, pada PRU-12 empat tahun lalu, beliau mempertahankan kerusi Parlimen Pandan, mengalahkan calon Kesatuan Kerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud dengan majoriti 2,961 undi.

 

Tee Keat mula menjadi calon parti pada 1989 di kawasan Parlimen Ampang Jaya menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris .

 

Ditanya mengenai pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) berkemungkinan menjadi calon mewakili BN pada PRU-13, Tee Keat berkata kerajaan tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pertubuhan atau NGOterutama yang bukan Melayu untuk turut bertanding dalam pilihan raya.

 

Katanya kerajaan sentiasa memberikan peluang yang meluas untuk dinikmati oleh semua pertubuhan termasuk golongan muda tanpa mengira kaum, agama dan keturunan. Untuk maklumat lanjut, ikuti Temubual Eksklusif bersama Datuk Seri Ong Tee Keat di laman web rasmi The Malaysian Times Ahad, 1 Julai 2012. – TMT