|Wednesday, June 19, 2013

Saksikan bunga api sempena Hari Kemerdekaan 

Oleh LAU PHEK YEN

 

KUALA LUMPUR : Lima tahun lalu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-50, 8TV telah menyiarkan rancangan berjudul Hati di Malaysia dengan Cheryl Lee sebagai pencaranya. Program tersebut bertujuan menjejaki rakyat Malaysia yang menetap di luar negara khususnya di rantau Asia, terutamanya mereka yang berjaya mencipta nama dan menjadi terkenal.

 

Cheryl yang dihubungi The Malaysian Times (TMT) di sini pada Rabu, memberitahu bahawa antara semua program yang pernah diacaranya, Hati di Malaysia merupakan program yang paling bermakna baginya.

 

“Ini kerana setiap kali mennemuramah tokoh-tokoh terkenal itu, saya berasa bangga melihat kejayaan mereka, dan pada waktu yang sama mereka masih taat setia dan bersikap patriotik terhadap negara tempat asal mereka dilahirkan,” cerita Cheryl.

 

 

Cheryl Lee

“Namun,saya berasa agak sedih tahun ini kerana tidak dapat menyambut Hari Kemerdekaan di Malaysia kerana perlu berada di Hong Kong pada waktu itu disebabkan tugas,” kata Cheryl.

 

Menurutnya, sambutan Hari Kemerdekaan yang masih kekal dalam ingatannya sehingga sekarang ialah semasa beliau berumur 15 tahun.

 

“Saya belajar di Pahang semasa itu. Saya masih ingat Hari Kemerdekaan pada tahun itu disambut pada hujung minggu. Oleh itu, saya bersama dengan rakan- rakan menaik bus dari Pahang sampai ke Padang Merdeka di Kuala Lumpur untuk menyaksikan pertunjukan bunga api disana.

 

“Selepas itu,saya berpeluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan setiap tahun sejak saya menceburi bidang hiburan. Setiap tahun saya dikehendaki mengacara program Hari Kemerdekaan. Maka, kebanyakan sambutan Hari Kemerdekaan diadakan bersama dengan rakan sekerja saya,” tambah Cheryl.

 

Cheryl yang aktif menyertai pasukan debat di peringkat sekolah, sentiasa berpeluang menyertai pertandingan yang diadakan sempena Hari Kemerdekaan. Oleh itu, beliau amat memahami dengan jelas pengertian Hari Kemerdekaan dan semua peristiwa yang berkaitan dengannya.

 

“Saya bersyukur bahawa rakyat Malaysia pada hari ini mula mempunyai pendirian cintakan negara ini. Mereka juga sangat peka tentang perkembangan politik negara, sekaligus membuktikan rakyat mempunyai kesedaran dalam hal-hal yang berkaitan negara.

 

“Namun, saya berharap semua rakyat boleh bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain. Kita tidak mahu dikenali sebagai orang Cina, orang Melayu atau orang India. Kita semua anak Malaysia,” tegasnya. – TMT