Trump to announce terrorism list decision on North Korea next week: White House
November 17, 2017
Trader fined RM10,000 for using uncertified communications equipment
November 17, 2017

Rumput tidak selalu lebih hijau di padang lain – Salleh

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Menyelar sikap sesetengah rakyat Malaysia yang sering merungut tentang negara mereka, Menteri Komunikasi dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan mereka bahawa ‘’rumput tidak selalu lebih hijau di padang lain’’.

“Terdapat rakyat Malaysia yang sentiasa merungut tentang negara mereka tetapi warga asing yang datang ke Malaysia cenderung untuk bersetuju bahawa negara kita adalah syurga. Sama ada warga asing yang banyak berkunjung ke negara lain ini berbohong atau mereka melihat sesuatu yang jelas kita tidak nampak,” katanya dalam catatan di laman blog sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Beliau berkata daripada kaca mata sesetengah rakyat Malaysia ‘rumput selalu tampak lebih hijau di padang lain’ apabila mereka berkunjung ke luar negara dan membandingkannya dengan Malaysia, tidak semestinya betul.

“Ambil perhatian tentang masalah rasis dan kurangnya toleransi di negara-negara yang dianggap lebih liberal dan maju daripada Malaysia. Wanita Islam yang memakai tudung di negara Eropah seperti England, Perancis dan Belanda perlu berdepan rasa takut didiskriminasi, dicaci atau diserang,” kata Salleh.

Menteri itu turut mengkritik sesetengah rakyat Malaysia yang hanya melihat pada satu aspek sahaja untuk mengutuk negara ini.

“Contohnya, kenaikan harga petrol. Tetapi adakah rakyat Malaysia ini (yang suka mengkritik) katakan perkara yang sama apabila harga petrol turun? Adakan negara kita mempunyai berjuta-juta gelandangan yang tidur di jalan-jalan seperti di negara-negara maju? Kita perlu melihat Malaysia secara menyeluruh dan bukan pilih satu perkara setiap hari untuk merungut,” kata Salleh.

Beliau berkata ada sesetengah rakyat Malaysia sudah masuk dalam perangkap sikap suka merungut tentang negara walaupun kerajaan sebenarnya melakukan banyak perkara baik.

” Tolong sedar bahawa ini merupakan strategi antikerajaan yang klasik bagi mewujudkan rasa tidak puas hati. Kita perlu bersikap rasional dan ini bermakna pujian patut diberikan sewajarnya pada yang berhak,” katanya.

Menyatakan rakyat tidak harus berpeluk tubuh dan merungut hanya semata-mata mahu merungut, Salleh menegaskan sudah tiba masanya untuk maju ke depan dan membantu membina sebuah negara yang lebih baik.

Comments are closed.