|Tuesday, April 25, 2017

Remaja dituduh curi duit tabung masjid 

TELUK INTAN, 21 Mac: Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memecah masuk sebuah masjid dan mencuri RM6,000 duit tabung masjid berkenaan pada awal bulan ini.

Mohammad Iqmal Khalid, 20, didakwa pecah masuk Masjid Jamek Pekan Hutan Melintang menggunakan pemotong besi dan mencuri wang tunai RM6,000 dari tiga tabung masjid berkenaan pada 5.40 pagi, 6 Mac lalu.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Rungkup Kecil, Bagan Datuk didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun Hakim Norita Mohd Ardani menetapkan 17 April depan untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh adalah pesalah di bawah umur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Ja’afar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang menganggur itu.

— Bernama