|Friday, April 28, 2017

Raptai istiadat pertabalan Agong ke-15 lancar 

KUALA LUMPUR, 21 Apr: Raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V yang berlangsung di  Istana Negara, hari ini, berjalan lancar dengan hampir semua persiapan untuk upacara itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata raptai terakhir itu bertujuan mengenal pasti sebarang penambahbaikan dan pembetulan yang perlu dilakukan menjelang istiadat pertabalan itu pada Isnin.

“Alhamdulillah raptai penuh bagi istiadat pertabalan berjalan dengan lancar. Semua sedia maklum istiadat ini adalah satu majlis amat bersejarah dan kita lakukan mengikut tradisi yang biasa dilakukan.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk menentukan kelancaran dan kelicinan majlis ini dan Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak kakitangan kerajaan dan istana, kita menyaksikan satu gandingan yang baik sekali untuk menentukan perjalanan akan berjalan dengan baik,” katanya selepas meninjau perjalanan raptai itu di Istana Negara.

Menurut  Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Istiadat Pertabalan itu, rakyat boleh menyaksikan upacara bersejarah itu melalui siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin depan.

Selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas, Sultan Muhammad V, akan ditabalkan sebagai ketua utama negara pada Isnin ini bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Dis tahun lepas.

— Bernama