|Thursday, May 23, 2013

Rafizi failkan laporan polis terhadap PM 

Oleh ERNA MOHD YUSOFF

erna@themalaysiantimes.com.my

 

Rafizi Ramli

PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini tampil membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya atas tuduhan campurtangan dalam kontrak LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 billion.

 

Dalam laporan tersebut, Rafizi menyatakan bahawa akhbar Business Times telah mengeluarkan laporan berkenaan kontrak pembinaan LRT Ampang yang dianugerahkan kepada Konsortium George Kent, sedangkan kontrak tersebut telah dipersetujui untuk diberikan kepada konsortium lain.

 

“Saya percaya ada campurtangan terus Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang melanggar proses dan prosedur perolehan kerajaan,”demikian menurut laporan yang dikemukakan.

 

Business Times bertarikh 22 Jun 2012 dikatakan mengeluarkan satu laporan tentang kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa beliau berhasrat menganugerahkan kontrak kerja-kerja sambungan LRT Ampang kepada Konsortium George Kent bernilai lebih satu billion ringgit.

 

Ia bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan PM pada 25 Januari 2012 yang melantik Konsortium Balfour Beatty-Invensys sebagai kontraktor projek tersebut pada harga RM1,012,910,000.

 

“Saya juga percaya campur tangan ini mempunyai risiko besar kepada negara dan rakyat dari segi rasuah yang terlibat, risiko keselamatan apabila pembida yang tiada pengalaman diberikan kontrak membina LRT dan melanggar semua peraturan kerajaan,”katanya.

 

Tindakan beliau dilihat sebagai satu lagi strategi agresif dari Pakatan Rakyat dalam menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya Perdana Menteri menjelang PRU ke 13.

 

“Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (Menteri Kewangan), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan II) dan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan),”ujar beliau menerusi laman blognya – TMT