PRU-13 berlangsung tahun hadapan?
Oleh ERNA MOHD YUSOFF
erna@themalaysiantimes.com.my
Datuk Seri M. Kayveas
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Seri M. Kayveas meramalkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berkemungkinan besar akan berlangsung tahun hadapan.
Kayveas berkata, peluang PRU-13 untuk diadakan pada tahun ini adalah sangat tipis memandangkan keadaan semasa yang masih samar-samar dan beberapa keraian besar sepanjang hujung tahun ini.
“Ramai yang beranggapan bahawa pilihan raya akan diadakan selepas raya, tapi saya secara peribadinya merasakan bahawa ia akan berlangsung tahun depan.
“Saya yakin Perdana Menteri (PM) tidak akan mengadakan pilihan raya tahun ini. Hujung tahun ini negara akan sibuk dengan pelbagai keraian seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, dan sebagainya,” katanya ketika ditemuramah The Malaysian Times (TMT).
Menurut Kayveas, pihak pembangkang sengaja memaksa PM untuk mengumumkan supaya pilihan raya diadakan lebih awal bagi mengalihkan fokus pihak kerajaan daripada terus berusaha memajukan masyarakat.
“Pihak pembangkang begitu bijak memutarkan kisah pilihan raya akan datang sebaik sahaja mereka mendapat mandat, menyebabkan pihak yang mendapat mandat terpaksa fokus kepada politik, dan bukannya bekerja untuk masyarakat.
“Sepatutnya apabila mendapat mandat 5 tahun, mereka perlu bina masyarakat dan buat apa yang perlu dibuat dalam masa 5 tahun. Jadi apabila masanya sudah tiba, barulah cakap nak buat pilihan raya,” ujarnya.
Kayveas berkata, PM tidak perlu tergesa-gesa mengumumkan PRU-13 memandangkan tiada sebab penting untuk beliau mengadakannya dalam masa terdekat.
“Tak ada sebab nak cepat-cepat buat pilihan raya jika tidak ada kecemasan. Kecualilah jika negara mengalami satu keadaan dimana kita tak pasti siapa yang memerintah atau jika mahkamah tiba-tiba umumkan beliau bukan PM, seperti mana yang berlaku kepada beberapa negara lain.
“Jika perkara besar seperti itu berlaku, ya, kita perlukan pilihanraya serta merta. Jika tidak, gunakan masa tersebut untuk bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya.
Justeru, Kayveas menggesa setiap pemimpin menggunakan masa yang ada untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas, bukannya mempergunakannya untuk kepentingan politik semata-mata.
“Adalah tidak wajar untuk mengatakan bahawa kita memerlukan pilihanraya sekarang kerana yang ruginya adalah rakyat. Masa lima tahun adalah untuk rakyat. Jadi kenapa kita harus pendekkan masa untuk berkhidmat kepada rakyat?
“Sebaiknya, setiap orang yang diberi mandat perlu berkhidmat kepada dengan penuh keikhlasan,” tambahnya - TMT





