Kes bunuh Zulfarhan: Sebutan kes pada 10 Nov
October 16, 2017
Selangor Sultan orders Mais to revoke Zamihan’s preaching credentials
October 16, 2017

Permainan tekan dada diharam di sekolah

BANGI, 16 Okt: Permainan ‘pass out challenge’ atau mati lima saat diharamkan dimainkan pelajar di sekolah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata arahan itu berkuat kuasa serta merta agar tidak berlarutan.

“Pada saya ini sesuatu permainan yang haram, tidak boleh dimainkan dan perlu diambil tindakan tegas kepada mereka yang berkenaan.

“Bagaimana jika pemain yang bermain benar-benar mati. Sebab itu kita perlu tegas dan ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kaunseling Antarabangsa Malindo Kelima di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video yang tular yang menunjukkan pelajar asrama bermain pass out challenge dengan bergilir-gilir menekan dada rakan-rakan mereka.

Mahdzir berkata kementerian akan mengeluarkan arahan kepada guru hal ehwal murid dan warden asrama supaya tindakan tegas diambil terhadap pelajar yang bermain permainan tersebut.

Sementara itu beliau berkata kementerian sedia menimbang saranan Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (Perkama) supaya guru kaunseling atau kaunselor turut diwujudkan di sekolah yang mempunyai bilangan murid kurang daripada 350 orang.

Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 11,000 jurukaunseling sepenuh masa yang berkhidmat di sekolah di seluruh negara dengan nisbah seorang kaunselor bagi setiap 500 pelajar.

“Setakat ini peranan mereka amat berkesan dalam membantu sekolah berdepan isu murid bermasalah dan untuk itu kita sedia mengambil maklum saranan yang dibuat Perkama,” katanya dan menambah ketika ini kaunselor hanya ditempatkan di sekolah yang mempunyai bilangan murid melebihi 350 orang.

Berhubung peranan kementerian ke atas pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah, Mahdzir berkata secara prosedur operasi standard, pelajar tersebut bukan lagi di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

“Sebelum pelajar dibuang sekolah, pelajar tersebut telah diberikan pelbagai peluang untuk berubah, melalui sesi kaunseling dan jika pelajar masih ditahap sama, buang sekolah adalah pilihan terakhir yang diambil,” katanya.–Bernama

Comments are closed.