|Friday, October 31, 2014

Perhitungan dan percaturan politik yang cukup getir untuk MIC di PRU 13 

Opinion_6

1

Semua Pemimpin dan ahli MIC perlu berfikir secara rasional dan bijak untuk memastikan  kemenangan kesemua calon parti itu pada Pilihanraya Umum ke – 13  demi mengembalikan semula kekuatan dan mempertahankan survival  politik parti itu pada Pilihan Raya Umum ke – 13.

Keputusan PRU – ke 12 pada 2008 telah menceritakan segala – galanya. Dalam tempoh lima tahun ini, semua ahli MIC sudah tentunya  telah membaca dan memahami segala percaturan politik negara termasuk  aspek kekuatan, kelemahan dan segala perkembangan semasa mengenai parti itu sejak ditubuhkan  pada 1946,.

Penulis  tidak menafikan fakta kebenaran mengenai sokongan masyarakat India sedang kembali ke pangkuan Barisan Nasional selepas PRU 2008. Banyak ramalan dan kajian telah menunjukkan realiti  tersebut. Malah pihak pembangkang juga tidak senang duduk dengan perkembangan tersebut.

Antara faktor yang  telah mendorong memulihkan semula  sokongan dan semangat masyarakat India terhadap BN ialah peranan dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta perubahan kepimpinan dalam MIC .

Masyarakat India menaruh  nambikei ataupun kepercayaan terhadap kepimpinan Najib yang telah mengambil beberapa pendekatan proakif yang dapat menjamin masa depan mereka seiring dengan proses pembangunan negara.  

Pada masa yang sama, masyarakat India juga sedang  memerhatikan dengan lebih serius dan mendalam mengenai segala perkembangan politik dalam MIC menjelang PRU ke – 13 . Mereka juga mahu melihat parti itu menjadi sebuah parti yang lebih “diyakini” dan “berwibawa ”  yang dapat mewakili  suara  komuniti India di negara  seiring dengan tuntutan  semasa – bukanya sekadar sebagai  sebuah parti komponen dalam BN .

Masyarakat India juga mahu melihat MIC  berfungsi sebagai  denyut nadi kaum itu bagi memastikan hak dan kuasa politik dapat dipertahankan, diperkasakan dan di perkukuhkan lagi sebagai sebuah parti yang dominan mewakili kaum itu di negara ini. 

Pada PRU 2008, MIC hanya mampu memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, MIC berjaya merampas kembali Parlimen Hulu Selangor di pilihanraya kecil pada 2010. 

Keputusan PRU ke – 12 merupakan satu- satunya prestasi terburuk MIC dalam perjuangan politiknya dalam kancah politik negara .MIC pernah menerima pegiktirafan sebagai  parti yang memiliki “rekod bersih” dalam sejarah pilihanraya umum negara. Malah parti itu pernah memainkan peranan yang penting untuk memastikan kemenangan BN semasa musim politik yang kritikal pada tahun 1986, 1990 dan 1999.

Selain beberapa isu nasional, masyarakat India turut kecewa dan marah terhadap kepimpinan MIC yang gagal memperjuangkan nasib mereka khususnya dalam isu – isu yang berkaitan dengan keperluan asas. 

Mereka terpaksa menunjukkan bantahan tersebut melalui suara demokrasi pada PRU 2008. Ini kerana , mereka menaruh harapan yang cukup tinggi terhadap parti itu sekian lama. Mereka menuntut satu perubahan yang radikal yang dapat menjadikan parti itu lebih mantap, inklusif dan berdaya saing.

Dalam tempoh masa lima tahun ini , parti pembangkang masih lagi mengunakkan MIC  dan prestasi mereka sepanjang 50 tahun yang lepas  sebagai modal politik mereka. Ini adalah satu – satunya dilema MIC ketika ini yang perlu dibersihkan .

Manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU ke – 13 pula telah meminggirkan nasib kaum India sedangkan kuasa masyarakat India telah memainkan peranan yang penting untuk pihak pembangkang memenangi banyak kawasan pada PRU 2008 .

Di satu sudut lain pula, DAP pula melancarkan deklarasi Gelang Patah untuk menangani isu komuniti India baru – baru ini untuk memenangi hati masyarakat India. 

Deklarasi tersebut juga gagal memberi sebarang justifikasi yang dapat menjamin harapan masyarakat India. Agak pelik sekali kenapa DAP mahu menamakanya sebagai deklarasi Gelang Patah sedangkan isu kaum ini merupakan satu agenda nasional. 

Ianya di lihat sebagai satu lagi dokumen politik untuk pilihanraya sedangkan parti itu yang memiliki kuasa pentadbiran di Pulau Pinang sejak 2008 seharusnya   menujukkan komitmen mereka untuk mengubal satu dasar untuk kaum India yang  boleh dimulakan  di Pulau Pinang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih mengunakkan kempen politik 100 hari selepas merampas Putrajaya untuk menyelesaikan masalah masyarakat India.  Beginilah situasi di parti pembangkang yang dilihat tidak konsisten dan sering bercelaru menjelang PRU ke – 13.

Di sebalik segala percaturan politik retorik dan syok sendiri itu, Najib Tun Razak telah memberikan satu puthiya nambikei  ataupun harapan baru untuk kaum India untuk menangani segala  permasalahan mereka yang dilaksanakanya secara terurus dan terancang.

Manifesto BN yang dilancarkan Sabtu lepas juga telah memberi penekanan  khusus terhadap aspek pendidikan, taraf hidup, sosial , ekonomi dan sebagainya untuk masyarakat India. 

Kita boleh meletakkan kepercayaan  tinggi terhadap kepimpinan Najib untuk melaksakanan segala janjinya berdasarkan prestasinya sejak empat tahun lepas untuk masyarakat India.

Najib dilihat telah berjaya “membuka dan merawat”    segala rintangan,  kesulitan dan kesusahan  yang dialami oleh masyarakat India lebih daripada 50 tahun lepas dalam tempoh masa empat tahun secara berperingkat – peringkat. Ini adalah satu permulaan yang amat baik untuk meraih , mendapatkan dan  menikmati lebih banyak peluang secara adil dan saksama seiring dengan gagasan 1 Malaysia. 

Justeru, MIC perlu menjadi benteng kekuatan untuk Najib , BN dan masyarakat India. Semua ahli MIC perlu memberikan sepenuh kepercayaan dan mandat kepada Presiden parti Datuk Seri G Palanivel yang  buat pertama kali akan memimpin parti dalam persaingan pilihanraya negara untuk membuat sebarang keputusan politik yang terbaik untuk parti dan masyarakat India  termasuk dalam soal pemilihan calon.

Secara tradisi dan lazimnya, semua Presiden parti memiliki kuasa mutlak untuk membuat pemilihan calon . MIC berada di satu persimpangan politik yang cukup ” genting” untuk menentukan satu hala tuju yang terbaik untuk parti, negara dan bangsa. Sebarang kesilapan , kealpaan dan gangguan sabotaj boleh meruntuhkan kuasa politik parti itu .

Semua ahli parti di  semua peringkat perlu berkerjasama antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan pasukan MIC. Jadikanlah   keputusan PRU 2008 sebagai satu pengajaran politik. Kerusi yang diperuntukkan kepada  MIC memamg terhad, justeru parti perlu memilih calon – calon yang  terbaik, berkelayakan dan diyakini oleh masyarakat untuk memastikan kemenangan .

Parti juga perlu memilih calon yang dapat mengembalikan semula kekuatan parti dan bukanya memilih calon berdasarkan kepentingan individu tertentu. Ahli MIC juga perlu keluar dari sindrom penafian dan jangan terlalu terpengaruh dengan politik spekulasi.

Jasa dan pengorbanan pemimpin MIC yang lepas seperti Datuk Seri S Samy Vellu boleh membantu memperkuatkan lagi jentera parti di kawasan yang pernah mereka wakili sebelum ini untuk menentukan kemenangan parti disamping mengerahkan jentera parti untuk  berkerja keras di peringkat akar umbi. 

MIC perlu berkerja keras untuk meraih kemenangan dan keputusan yang lebih baik berbanding keputusan PRU ke – 12.  Jawatan dalam parti tidak akan memberi sebarang kesan sekiranya parti hilang kuasa di PRU ke – 13. 

Pemimpin MIC juga perlu berhati – hati menjaga ” keamanan, kententeraman dan kestabilan ” dalam parti menjelang detik – detik mencabar seperti ini bagi mengelakkan sebarang implikasi dan persepsi yang negatif .

PRU ke – 13 merupakan medan yang terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis di peringkat Parlimen dan DUN seiring dengan perubahan politik semasa bagi memastikan perjuangan politik MIC   relevan untuk generasi akan datang.