Ringgit opens lower against greenback
October 30, 2015
Warga emas rentung dalam kebakaran di Kota Marudu
October 30, 2015

Penyakit katarak tidak kenal usia

KUALA LUMPUR,, 30 Okt: Penyakit katarak bukanlah penyakit khusus golongan berusia 50 tahun ke atas, malahan tidak mustahil ia dihidapi golongan lebih muda.

Malangnya, kurang kefahaman dan kegagalan mengesan katarak, suatu penyakit berkaitan mata yang boleh menyebabkan penghidapnya menjadi buta, mengakibatkan ramai orang di negara ini menghidap katarak.

Pesakit Perubatan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang, Kasi Munusamy, 70, menjalani pemeriksaan mata dengan menggunakan ‘Refraction’.  

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam semasa berucap pada sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat nasional pada 8 Okt berkata Kaji Selidik Mata Nasional 2 yang dikendalikan kementerian tahun lepas, mendapati 413,000 penduduk Malaysia berumur 50 tahun ke atas mempunyai masalah penglihatan.

Menurut kajian itu, daripada 113,000 orang yang menjadi buta, 43,000 daripadanya dikenal pasti berpunca katarak. Turut dianggarkan, sejumlah 1.3 juta rakyat yang berusia 50 tahun ke atas akan mengalami katarak dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

Angka yang didedahkan itu cukup mengejutkan apatah lagi fakta bahawa penyakit katarak bukanlah seperti anggapan bahawa ia penyakit eksklusif warga tua.

Apakah puncanya dan bagaimana dengan masa depan mereka yang mengalaminya?

GEJALA DAN PUNCA

Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia Dr Muhammad Hakim Nordin menjelaskan bahawa katarak umumnya adalah keadaan di mana kanta mata berselaput dan penglihatan semakin kabur secara berfasa.

“Walaupun tidak menyakitkan, kurangnya kefahaman mengenai katarak boleh menyebabkan penghidap kehilangan penglihatan sepenuhnya dan menjadi buta. Pada tahap ini, rawatan dianggap kurang efektif,” katanya kepada Bernama.

Rawatan awal sangat penting terutamanya jika penglihatan seseorang itu mulai kabur; warna kelihatan pudar; penglihatan berganda; tidak jelas pada siang hari; silau dan kuasa kanta mata meningkat serta memerlukan penukaran kanta mata dengan kerap.

Justeru, beliau menasihati individu yang mengalami gejala-gejala seumpamanya agar mendapatkan rawatan segera kerana ia masih mampu diubati jika dikesan pada peringkat awal.

Lazimnya, katarak berpunca daripada pelbagai faktor termasuk keturunan, peningkatan usia, cedera pada lensa mata dan juga di kalangan pesakit diabetis.

Bahkan pesakit yang mengalami Sindrom Down, Sindrom Edward dan Sindrom Patau juga berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.

Selain itu, golongan obes, pengguna steriod dalam jangka masa panjang, pengamal makan makanan bertoksin dan tinggi radikal (bendasing) bebas dan mereka yang mengalami kecederaan serius pada mata atau penyakit mata merupakan antara yang berisiko mendapat penyakit katarak.

Dr Muhammad Hakim berkata pendedahan kepada cahaya matahari yang berpanjangan juga boleh menimbulkan risiko kerosakkan mata akibat pancaran sinar ultraviolet (UV).

“Walaupun fakta ini kurang kukuh sebagai penyebab katarak, penggunaan cermin mata gelap mampu memberi perlindungan kepada kesihatan mata,” jelasnya.

MAKANAN SIHAT UNTUK MATA

Menyentuh tentang cara penjagaan mata agar sentiasa sihat, beliau berkata adalah penting untuk setiap individu menitikberatkan penjagaan makanan serta mengamalkan diet yang sihat sejak di usia muda.

“Hendaklah makan makanan yang menyihatkan seperti sayur-sayuran hijau kerana ia mengandungi nutrisi baik untuk penglihatan seperti vitamin C dan A serta anti-oksida kuat yang dapat menghindarkan radikal bebas daripada merosakkan organ dalaman termasuk mata.

“Ini dapat membantu menyihatkan organ mata dan secara tidak langsung mengelakkan masalah penglihatan,” ujar beliau.

Antara sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin berkenaan termasuklah bayam, brokoli, sayuran kekacang, serta buah-buahan seperti strawberi, anggur dan jambu.

Dr Muhammad Hakim berkata melalui langkah penjagaan kesihatan, pemakanan sihat dan seimbang diikuti dengan pengawalan berat badan serta gaya hidup yang baik, ia dapat membantu mengelakkan penyakit yang boleh menyebabkan katarak, umpamanya diabetes.

“Beberapa kajian di Amerika Syarikat juga menunjukkan bahawa melalui pengambilan multivitamin tambahan atau suplimen khususnya vitamin A dan C dapat mencegah risiko katarak,” katanya.

KESEDARAN INDIVIDU PENTING

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Hakim berkata penyakit katarak atau masalah penglihatan umumnya dapat dirasai atau dikesan oleh individu sejak mula lagi, justeru sebarang masalah seharusnya dapat dikenal pasti dan dirawat di peringkat awal.

Justeru, usaha dan kesedaran dalam menangani masalah penglihatan harus datang daripada individu itu sendiri.

Banyak maklumat boleh diperoleh dengan menyertai pelbagai program pendidikan dan kesedaran yang dianjurkan Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan kesihatan. Pada masa kini rangkaian sistem kesihatan negara ini juga sudah lengkap untuk menangani penyakit lazim yang menyebabkan masalah buta.

“Penerapan pemahaman mengenai penyakit penglihatan perlu terus digalakkan baik di peringkat kerajaan mahu pun swasta supaya tindakan mencegah masalah penglihatan dapat dilakukan sejak awal iaitu di peringkat individu,” katanya.

Selain itu, tabiat membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala hendaklah menjadi amalan, satu sikap yang mesti disemai dan dipupuk di kalangan rakyat.

Secara umumnya, setiap individu dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan sama ada di klinik kesihatan kerajaan ataupun swasta setiap dua tahun sekali dan sebarang simptom masalah penglihatan harus diutarakan awal.

“Mereka yang berusia 50 tahun ke atas digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun manakala golongan berisiko tinggi seperti penghidap diabetes disarankan lebih kerap lagi membuat pemeriksaan doktor,” katanya.

Dr Muhammad Hakim mengingatkan penghidap diabetes bahawa mengawal pengambilan gula serta memastikan lawatan ke doktor secara terancang dan kerap akan dapat menghindarkan katarak.

Sekiranya terjadi katarak sekalipun, ia dapat dikesan awal sekali gus mendapat rawatan awal.

HANYA DENGAN PEMBEDAHAN

Tiada cara lain untuk merawat katarak selain melalui pembedahan oleh pakar mata, kata Dr Muhamamad Hakim, yang mempunyai klinik kesihatan persendirian.

“Kalau di hospital swasta harga rawatan bagi setiap mata adalah kira-kira RM10,000 hingga RM11,000. Bagaimanapun, pekerja sektor awam atau golongan pesara, kadar rawatan katarak adalah kira-kira RM450 bagi setiap mata,” katanya.

Beliau menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan kerana menyediakan Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) yang manawarkan pembedahan katarak dengan harga rendah bagi penduduk luar bandar.

“Ini merupakan inisiatif yang memberangsangkan serta tepat waktunya. Melalui perkhidmatan seperti ini, bebanan kos untuk mendapatkan rawatan penyakit katarak dapat diringankan,” katanya.

Pada 1 April 2013, Kementerian Kesihatan memperkenalkan Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) bagi membolehkan rakyat mendapat rawatan pemeriksaan mata dengan kos lebih rendah berbanding hospital swasta.

KK1M menyediakan perkhidmatan oftalmologi kepada semua lapisan masyarakat bagi mencegah kebutaan dan mengawal kebutaan yang dapat dielakkan.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah saringan katarak, rabun penglihatan, glaukoma dan diabetik �retinopathy serta penyakit retina.

Mengakhiri perbualan, Dr Muhammad Hakim memberitahu bahawa terdapat kajian di Amerika Syarikat untuk merawat katarak dengan hanya pengambilan ubat-ubatan, namun, belum diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA).

— Bernama

Comments are closed.