FGV revamo will provide bright future – Najib
June 19, 2017
Opposition had no influence on US government’s 1MDB lawsuit: Dr Mahathir
June 20, 2017

Pengenaan GST ke atas barangan baharu perlu kelulusan Kabinet , Johari ‘tegur’ Kastam

PUTRAJAYA, 19 Jun : Sebarang pengenaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap mana-mana barangan baharu perlu melalui kelulusan Kabinet berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman pembatalan GST ke atas tambahan 60 lagi item makanan berkuat kuasa 1 Julai, 2017 yang dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini.

“Item tersebut memang tidak sepatutnya dikenakan GST buat masa ini. Saya sudah beritahu kepada pihak kastam setiap barang yang hendak dikenakan GST perlu dibawa ke peringkat Kementerian Kewangan dan kita akan bawa ke Kabinet.

“Ia tidak boleh dikenakan (GST) tanpa kelulusan Kabinet,” katanya kepada pemberita semasa majlis Iftar Perdana Kementerian Kewangan di sini, malam ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Johari berkata, cadangan pengenaan GST terhadap 60 item makanan tersebut dibuat di peringkat JKDM tanpa sebarang rujukan dengan kementerian untuk dimuktamadkan.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pembatalan GST ke atas barangan makanan itu adalah bersifat politik, memandangkan langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kos hidup rakyat.

“Jangan buat spekulasi,” katanya.

Media tempatan melaporkan lebih 60 makanan tertentu yang berkadar sifar akan dikenakan GST enam peratus bermula 1 Julai tahun ini selepas merujuk kepada Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 yang telah diwartakan pada 6 Jun 2017 melalui P.U. (A) 162, dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.

Implikasi kepada pewartaan Perintah itu akan menyebabkan lebih daripada 60 item makanan seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, peach, plum) figs, marjerin dan lain-lain akan tertakluk kepada GST enam peratus.

— BERNAMA

Comments are closed.