|Friday, April 28, 2017

Pendakwaan gagal pindah kes cederakan pesuruhjaya tinggi Sri Lanka mahkamah KL 

KUALA LUMPUR, 20 Apr: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tiga lelaki yang didakwa mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia dari Mahkamah Sesyen Sepang ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Oleh itu kes ketiga-tiga tertuduh A. Kalaimughilan, 25, V. Balamurugan, 34, dan V.Ragunathan, 38,  akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Sepang.

Pendakwaan memohon supaya  kes itu di pindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  atas alasan bimbang dengan keselamatan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar selaku saksi pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Datuk Nordin Hassan menolak pemohonan itu setelah mendapati alasan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak munasabah.

“Tiada alasan yang munasabah untuk mahkamah memindahkan kes tersebut jika mahkamah membenarkan pemohonan itu penyokong masih boleh datang ke sini”.

“Jika mangsa tidak berpuas hati dia boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa atau polis dan Mahkamah Sesyen di Sepang. Saya menolak permohonan ini,” katanya.

Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah  dan peguam M.Manoharan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.

Pada 9 Sept  2016, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama dengan empat orang yang masih bebas  melakukan kesalahan itu di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, pada 4 Sept 2016, pukul 3 petang.

Kalaimughilan seorang peniaga, Balamurugan, pemandu teksi, dan Ragunathan, juga seorang peniaga  didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada 4 Sept 2016, Ibrahim diserang di KLIA selepas menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage dan Ibrahim, yang lebam di muka serta badan, mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini.– Bernama