|Friday, March 31, 2017

Pembunuhan Jong Nam: ‘Siti Aishah tahu bertutur Bahasa Korea’ – Ibu 

JS120859522_twitter-Istimewa-kumparancom_KIM-JONG-NAM-MURDER-FACEBOOK-PICTURES-large_trans_NvBQzQNjv4BqEzw5OF8VsBey80ir11mphgqQ46lR-zE5pEqhiivseS8

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Ibu kepada Siti Aishah, Benah terkejut apabila mengetahui anaknya terlibat dalam pembunuhan Kim Jong Nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 2 baru-baru ini.

Kata Benah,50, dia dapat tahu mengenai berita mengenai Siti Aishah,25, ini selepas melihat laporan berita di kaca TV.

Selain itu, Benah turut memberitahu bahawa anaknya itu fasih bertutur Bahasa Inggeris dan Korea walaupun tidak pernah menghadiri mana-mana kelas ataupun kursus untuk belajar kedua-dua bahasa tersebut.

“Dia (Siti Aishah) tidak pernah menghadiri mana-mana kursus, dia cuma ikut-ikut sahaja apa yang orang cakap, tahu-tahu dia dah boleh bertutur bahasa korea,” kata Benah yang dipetik dari portal berita Indonesia, news.detik.com.

Tambahnya lagi, kali terakhir dia berjumpa dengan Siti Aishah adalah pada 21 Januari lalu bila anaknya itu datang melawatnya sebelum pergi berjumpa dengan bekas ibu mertuanya di Tambora, Jakarta Barat.

Benah turut memberitahu anak perempuannya itu bekerja di sebuah kedai pakaian di Batam selepas bercerai dengan suaminya pada tahun 2012 dan sejak tiga tahun lalu, dia sering ulang alik ke Malaysia dan kata Benah, anaknya itu memberitahu dia pergi ke sana hanya untuk bersiar-siar.

Walaubagaimanapun, kumparan.com melaporkan Siti Aishah telah pun berhijrah ke Malaysia sejak 2014 dan menurut Benah, dia sendiri tidak tahu dengan siapa Siti Aisyah tinggal sekarang ini kerana anaknya itu tidak pernah memberikannya nombor untuk dihubungi.

“Siti Aishah mempunyai seorang anak dan anaknya itu tinggal di rumah bekas ibu mertuanya,” kata Benah.

Polis Malaysia setakat ini menahan dua wanita berhubung kematian Jong-nam yang didakwa diracun oleh dua pembunuh wanita ketika mendiang sedang menunggu penerbangan di KLIA2.

Suspek wanita pertama adalah Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasort Vietnam, dan supek kedua adalah Siti Aisyah yang memegang pasport Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mengesahkan perkara itu berkata, Siti Aishah ditahan kira-kira jam 2 pagi tadi di sebuah hotel di Ampang dan penangkapan itu dibuat hasil dari pengecaman rakaman litar tertutup (CCTV) di klia2.

Selain itu, Siti Aishah juga ditahan selepas teman lelaki Aishah, Muhammad Farid Jalaluddin, 26, mengaku kepada polis yang dia telah memindahkan Siti Aishah dari sebuah hotel di Bandar Baru Salak Tinggi ke sebuah hotel di Ampang selepas rakan sebiliknya Thi Huong ditangkap polis.

Farid bagaimanapun bukan suspek utama dalam kes ini.