|Friday, May 24, 2013

Pelaksanaan ONCC bantu Melaka kurang kos telekomunikasi 

MELAKA : Melaka berjaya mengurangkan kos telekomunikasi jabatan dan agensi kerajaan kepada RM34,000 sebulan sejak pelaksanaan sistem perkhidmatan ‘One Number Call Centre’ (ONCC) bermula Januari tahun lepas.

 

 

Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata sebelum ini, bil penggunaan mencecah RM59,000 sebulan. Beliau berkata, pelaksanaan ONCC di talian 06-3333333 kendalian Jabatan Menjimat Kos Utiliti di bawah Jabatan Ketua Menteri bertujuan menyelesaikan masalah perhubungan antara rakyat dengan jabatan dan agensi kerajaan di Melaka.

 

“Sebanyak 32 agensi dan jabatan mampu menjimatkan bil telefon sebanyak RM32,185 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Kesedaran Perkhidmatan Talian ONCC Kerajaan Negeri di Auditorium Seri Negeri hari ini.

 

Mohd Ali berkata, agensi yang dapat menjimatkan bil telefon tertinggi tahun lepas ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Melaka Tengah, berjumlah RM12,863 dengan purata panggilan diterima sebanyak 24,736.

 

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan laporan operasi ONCC, pada tahun lepas, secara keseluruhan, sebanyak 451,198 panggilan diterima direkod dengan purata 1,213 sehari bagi tempoh Januari hingga Disember.

 

Katanya, panggilan yang diterima melibatkan aduan, pertanyaan berkaitan pelancongan, masalah sosial dan aktiviti yang dijalankan kerajaan negeri.

 

Mohd Ali juga berkata, sistem perkhidmatan ONCC berada pada tahap baik iaitu 78 peratus berdasarkan kajian melibatkan 258 responden antara Julai dan Disember tahun lepas.

 

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan rakyat, pelabur dan agensi kerajaan di Melaka memanfaatkan sistem tersebut sepenuhnya.