|Monday, September 1, 2014

PAS Terengganu tampilkan calon wanita pada PRU13 

1

KUALA TERENGGANU, 04 April: PAS Terengganu bakal meletakkan seorang calon wanita untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), setelah kali terakhir menampilkan calon muslimah pada pilihan raya umum 1959.

Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Wahid Endut berkata parti memutuskan meletakkan seorang calon wanita pada PRU kali ini bagi memastikan golongan hawa di negeri ini diwakili di peringkat DUN.

“Calon wanita ini orang tempatan dan ada latar belakang yang menyakinkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di sini hari ini.

Bernama melaporkan Abdul Wahid bagaimanapun masih merahsiakan DUN mana yang bakal diwakili calon muslimah tunggal itu.

Pada pilihan raya umum 1959, PAS Terengganu meletakkan Khadijah Mohd Sidek di kerusi Parlimen Dungun.

Khadijah mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan, dan merupakan Anggota Parlimen wanita pertama PAS dan wakil rakyat wanita pertama bagi Terengganu.

Mengenai pembahagian kerusi Parlimen di kalangan pakatan pembangkang di Terengganu, Abdul Wahid berkata persetujuan telah dicapai iaitu PAS akan bertanding di tujuh kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di satu kerusi.

Katanya 40 peratus daripada calon pakatan pembangkang yang akan bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU13 terdiri golongan profesional muda.