|Saturday, May 25, 2013

PAS Selangor gesa PDRM hentikan serangan samseng 

Oleh Mohd Fazil

fazil@themalaysiantimes.com.my

 

KUALA LUMPUR : PAS Selangor menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan pantas bagi menangani masalah samseng yang semakin berleluasa ketika kempen-kempen politik diseluruh negara dijalankan.

 

Dr Abd Rani Othman

Pesuruhajaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Othman berkata, beliau kesal dengan tindakan ‘samseng-samseng’ yang menyebabkan beberapa insiden seperti konfrontasi, huru-hara dan pergaduhan ke atas pemimpin atau sesebuah parti terutama apabila kempen-kempen politik Pakatan Rakyat (PR) dianjurkan.

 

“Rakyat dengan jelas boleh menilai siapa yang mencetus konfrontasi kerana kebanyakan rakaman ada disiarkan di laman sosial seperti youtube dan kami di pihak PR boleh memberi jaminan bahawa ianya bukan bermula dari kami (PR) namun dari pihak luar yang iri hati dengan penerimaan rakyat terhadap PR.

 

“Kita ambil contoh insiden seperti serangan semasa kempen PKR di Lembah Pantai pada 25 Mei, Serangan ke atas kumpulan ROYALTI di hadapan SUK Kelantan pada 26 Jun dan serangan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 30 Jun. Ini membuktikan bahawa wujudnya keinginan untuk mengagalkan usaha perjuangan PR,” tegas beliau ketika ditemui The Malaysian Times (TMT).

 

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kehadiran anggota PDRM yang dilihat lebih banyak memerhati dari bertindak dan ia serba sedikit memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap kreadibiliti PDRM yang sewajarnya bebas dari sebarang pengaruh politik.

 

“Kami berterima kasih kepada PDRM kerana bertugas mengawal keselamatan namun kami pohon supaya tindakan yang diambil tidak mengira asal parti politik pengadu atau suspek.

 

“Terdapat beberapa insiden yang mana beberapa laporan Polis dibuat namun tindakan yang diambil boleh dikatakan sebagai lewat dan kadangkala dipandang sepi namun apabila melibatkan parti pemerintah, reaksi berbeza diterima,” ujar beliau.

 

Walaubagaimanapun, Dr Abd Rani menafikan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap PDRM dan percaya badan beruniform itu mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dalam menangani wabak samseng yang kian menular semasa kempen- kempen politik dijalankan.

 

“Saya khuatir, jika kegiatan samseng ini tidak dibendung dengan segera, kempen- kempen pada PRU-13 kelak bakal menjadi lebih dasyat dan PRU-13 tidak dapat dijalankan dengan lancer,” kata beliau.

 

Untuk rekod, beberapa insiden serangan yang berlaku sekitar Mei hingga Jun lalu telah mengakibatkan dua kecedaraan iaitu satu ketika sesi ceramah PKR di Lembah Pantai dan satu lagi ketika konfrontasi antara ROYALTI dan TUKAR –TMT