M’sian economy likely to continue expanding next 4-6 months
April 21, 2017
Keputusan kes Ku Chin Wah gagal isytihar komisen pada 26 Mei
April 21, 2017

Najib saman Pua berhubung kenyataan RUU 355

KUALA LUMPUR, 21 April:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung kenyataannya dalam ”live video” mengenai  pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Najib menfailkan saman itu dalam kapasiti peribadinya melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dengan menamakan Pua  sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 6 April lepas, Pua telah membuat satu kenyataan di ruang legar di dalam Bangunan Parlimen dan rakaman kenyataan itu yang berdurasi 2 minit 21 saat itu telah dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya di laman rasmi Facebook milik Pua atas nama ”Tony Pua”.

Beliau berkata  ”live video” itu yang bertajuk ”BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member”s Bill” boleh ditonton di Facebook.

Najib berkata kenyataan dalam ”live video” itu mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan menfitnahnya yang  secara lazim dan biasa membawa maksud plaintif telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada Anggota Parlimen Marang  untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

Beliau berkata perkataan-perkataan itu juga membawa maksud plaintif tidak menghiraukan doktrin pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman, telah berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu di kalangan parti pembangkang dan seorang pemimpin yang mengamalkan politik kotor untuk memastikannya masih berkuasa.

Najib berkata perkataan-perkataan fitnah itu merupakan fitnah yang amat serius dan menyebabkan plaintif dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan-rakan, kenalan dan masyarakat awam di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Menurutnya disebabkan oleh penerbitan perkataan-perkataan itu, yang boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, telah menyebabkan kerosakan terhadap reputasinya secara berterusan.

Defendan tanpa ada rasa penyesalan atau perasaan bersalah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah itu terhadap plaintif dengan isu-isu yang sama di mana plaintif telah menfailkan saman terhadap defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Mei 2015, kata beliau.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata perbuatan defendan dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah secara berulang-ulang jelas menunjukkan bahawa defendan berniat jahat.

Najib berkata defendan menfitnahnya mengikut Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 yang terhad jawatannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa.

Beliau berkata perkataan-perkataan fitnah itu, yang berunsur skandal dan serius, telah menyebabkan kerosakan yang serius  dan ketegangan  antara hubungan rakyat dan pihak-pihak antarabangsa dengan plaintif.

Pada 11 April lepas, plaintif telah menghantar Notis Tuntutan terhadap defendan antaranya supaya defendan berhenti daripada mengeluarkan sebarang kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dan mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis dalam tempoh tujuh hari, tetapi defendan gagal dan/atau enggan untuk membalas dan/atau menjawab Notis Tuntutan itu.

Najib memohon antaranya, gantirugi am, tambahan, teladan, faedah dan satu perintah injunksi bagi menahan defendan atau ejen-ejennya dalam apa cara sekali pun daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan-perkataan fitnah terhadapnya.

Beliau juga memohon perintah supaya Pua menerbitkan permintaan maaf secara bertulis yang diterbitkan sekurang-kurangnya di dalam dua akhbar utama yang akan dikenal pasti  oleh plaintif dalam bentuk dan istilah yang akan ditetapkan oleh plaintif.

Najib juga memohon perintah supaya Pua mengeluarkan ”live video” itu daripada laman Facebook beliau dengan serta merta dari tarikh penghakiman, kos dan lain-lain perintah yag dianggap sesuai oleh mahkamah.

— Bernama

Comments are closed.