|Friday, February 24, 2017

Mufti Perlis dakwa Hindraf melampau, gesa k’jaan ambil tindakan 

Mohd-Asri-Zainul-Abidin

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Kerajaan digesa supaya mengambil tindakan terhadap kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) kerana meminta campur tangan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan isu kehadiran penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik ke negara ini.

Menurut Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sikap Hindraf yang melampau ini boleh dianggap sebagai menyamai kumpulan pengganas Hindu yang terkenal iaitu Tamil Tigers (LTTE).

“Tahap kemelampauan puak radikal Hindu ini sudah melepasi batasan yang sepatutnya. Kita memohon agar kerajaan bertindak ke atas mereka,” kata Mufti Perlis itu.

Beliau yang dikenali dengan nama Dr Maza itu berkata demikian berikutan daripada surat yang diajukan oleh Hindraf kepada Setiausaha Negara AS bertarikh 15 Febuari.

Surat tersebut menuduh Zakir Naik sebagai pengganas dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan terhadap penceramah bebas itu.

“Betapa melampau puak Hindraf ini. Kini mereka menulis surat ke White House pula untuk ambil tindakan kepada Dr Zakir Naik yang berada di Malaysia.

“Mereka tuduh dia sebagai pengganas dan gesa tindakan AS ke atas beliau. Bahkan meminta campur tangan AS ke atas Malaysia dalam kes ini agar Zakir Naik dibawa ke AS untuk didakwa.

“Kita jangan lupa bahawa Hindraf dahulu pernah membawa dakwaan ke kerajaan United Kingdom kononnya kerajaan Malaysia mengamalkan penghapusan etnik penganut Hindu di Malaysia. Kini ektremis Hindu ini kembali mengganas dalam sikap mereka,” kata Asri.