|Thursday, April 24, 2014

MIC :Lobi – melobi untuk menjadi calon semakin laju ; Palanivel menjadi tumpuan menjelang PRU ke 13 

NEW-MIC

Oleh : A. Sham

 

KUALA LUMPUR April 10 — Spekulasi mengenai senarai nama – nama bakal calon MIC untuk pilihan raya umum ke 13 semakin kuat dan laju sehingga pihak – pihak tertentu mengunakkan pelbagai taktik untuk menawan hati Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel sejak kebelakangan ini walaupun beliau telah memberikan amaran dan peringatan supaya menghentikan segera tindakan melobi denganya.

 

Malah baru – baru ini Jawatankuasa Disiplin MIC telah berkunjung ke Bahagian Teluk Kemang di Negeri Sembilan untuk memberikan penerangan supaya tidak membuat sebarang resolusi ataupun cadangan mengenai nama calon menerusi media massa. Baru – baru ini salah sebuah cawangan daripada Bahagian tersebut telah menamakan bekas Naib Presiden Datuk S.Sothinathan untuk bertanding semula di Parlimen tersebut pada PRU ke – 13 nanti. Jawatankuasa Disiplin MIC juga telah memberikan amaran tersebut kepada semua cawangan MIC di seluruh negara.

 

Disamping itu ada beberapa pemimpin pula dikatakan mengunakkan “cable UMNO” untuk melobi sebagai calon dan kempen – kempen “sms” untuk memastikan nama mereka tersenarai. Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel dikatakan sedang membuat penilaian yang serius dalam menyediakan senarai nama – nama calon MIC sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat ini.

 

Walaupun Presiden parti telah melantik beberapa “koordinator” di beberapa kawasan untuk memperkasakan dan memperkukuhkan lagi jentera parti bagi menghadapi cabaran PRU ke 13 namun perlantikan tersebut tidak menjanjikan ataupun memastikan dirin mereka “tersenarai” sebagai calon , kata satu sumber kepada The Malaysian Times.

 

KOORDINATOR MIC

 

” Memang benar Presiden telah melantik beberapa Koordinator dari kalangan Ahli Jawatankuasa Pusat MIC untuk menjaga , memantau dan berkerja di beberapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang menjadi kerusi milik MIC khususnya di Kapar, Kota Raja, Sungai Siput , Batu Caves, Buntong, Seri Andalas, Behrang dan beberapa kawasan lain.

 

Proses tersebut merupakan strategi parti untuk merampas semula kawasan – kawasan yang MIC kalah pada PRU 2008. Mungkin juga calon terbaik dikalangan Koordinator yang dilantik mempunyai peluang dipilih sebagai berdasarkan prestasi masing disamping menjadi calon pilihan rakyat”, kata sumber tersebut kepada The Malaysian Times.

 

Sumber risikan memberitahu The Malaysian Times dikalangan Koordinator yang telah mempamerkan prestasi yang baik termasuklah Ketua MIC Serdang dan bekas Senator N. Rawisandran yang tugaskan di DUN Batu Caves dan Ketua MIC Puchong dan Ahli Jawatankuasa Pusat MIC (CWC) A. Sakthivel yang ditugaskan di Parlimen Kapar.

 

Pada masa yang sama, ada juga perkembangan yang menyaksikan Penyelaras BN daripada MIC di beberapa kawasan yang tertentu “tidak sehaluan” dengan Koordinator yang dilantik oleh MIC kerana mahu menunjukkan kuasa politik mereka. Perlu di ingat, kepimpinan tertinggi BN telah berulang kali menyatakan bahawa kesemua Penyelaras BN yang dilantik di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri selepas PRU 2008 – tidak semestinya dilantik sebagai bakal calon untuk PRU ke 13. Perlantikan Penyelaras BN merupakan salah satu tindakan BN memberikan khidmat kepada rakyat selepas tewas pada PRU 12 .

 

STRATEGI PALANIVEL

 

Presiden MIC G.Palanivel yang buat pertama kali akan memimpin parti di medan pilihanraya umum dikatakan telah mengenalpasti serta menyenarai pendekkan nama calon – calon yang berpotensi di kesemua negeri untuk membuat pertimbangan sebelum membuat keputusan terakhir.

 

Malah agak sukar juga untuk pemimpin MIC untuk membaca apa yang tersirat dan tersurat di hati Presiden MIC itu kerana caranya amat berlainan sama sekali jika dibandingkan dengan bekas Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu. Sehingga kini, Palanivel belum membayangkan nama – nama calon kepada mana – mana pemimpin MIC kecuali ketika menghadiri upacara pecah tanah untuk membina dewan masyarakat di Tapah baru – baru ini, dalam ucapanya beliau telah membayangkan nama Ahli Parlimen Tapah Datuk M. Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mempunyai peluang yang cerah untuk dikekalkan dikawasan yang sama pada PRU ke 13.

 

MIC juga telah membentuk jawatankuasa pengurusan parti yang dikatakan bersidang setiap hari rabu dimana anggotanya terdiri daripada pemimpin tertinggi parti termasuk tiga wakil daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk membincangkan hal – ehwal pilihanraya umum ke 13 serta persiapan parti.

 

Palanivel yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga telah melantik Naib Presiden MIC Datuk M.Saravanan untuk menjaga negeri Kedah dan memastikan MIC dapat merampas semula DUN Lunas dan Bukit Selambau. Manakala seorang lagi Naib Presiden Datuk S. K. Devamany pula ditugaskan untuk menjaga Negeri Sembilan dan memastikan MIC dapat merampas semula Parlimen Teluk Kemang dan DUN Port Dickson. MIC hanya menang di DUN Jeram Padang menerusi Datuk V.S. Mogan yang kini merupakan Exco kerajaan negeri.

 

Palanivel sendiri yang mengambil – alih kepimpinan MIC negeri Perak baru – baru ini sedang memantau dengan serius perkembangan politik di negeri tersebut dimana hampir setiap hujung minggu beliau berada disana. Di negeri Perak MIC hanya berjaya mempertahankan kerusi Tapah dan tewas di Sungai Siput dan di DUN Behrang, Hutan Melintang,Pasir Panjang dan Sungkai. Walaupun wujud pelbagai spekulasi MIC akan bertanding di DUN Buntong bagi menggantikan DUN Sungkai , namun pemerhati politik berpendapat DUN Sungkai perlu dikekalkan kerana DUN Buntong amat “krtikal” sama sekali untuk menang.

 

Selaku Pengerusi MIC Selangor, Palanivel juga kerap mengadakan perjumpaan dengan pemimpin – pemimpin negeri tersebut dari masa ke semasa untuk memperkuatkan lagi jentera MIC di Selangor. MIC memiliki 4 kawasan Parlimen di Selangor iaitu – Kota Raja, Kapar, Subang dan Hulu Selangor serta tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ijok , Seri Andalas dan Batu Caves. Pada PRU ke 13 MIC kalah dikesemua kawasan tersebut. Namun MIC berjaya merampas semula Parlimen Hulu Selangor pada 2009 di pilihanraya kecil .

 

Di Selangor , MIC bakal menghadapi saingan sengit di Parlimen Subang, Kota Raja,dan Kapar. Apakah Setiausaha Agung MIC S.Murugessan yang tewas di Parlimen Subang pada PRU 2008 akan dikekalkan untuk bertanding di Parlimen yang sama ataupun diberi peluang untuk bertanding di kawasan yang lain? Murugessan merupakan antara pemimpin barisan hadapan MIC yang perlu menang pada PRU ke 13.

 

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda MIC S.A.Vikneswaran yang kini dipertanggungjawabkan sebagai Penyelaras BN Sri Andalas yang terletak dibawah Parlimen Kota Raja mempunyai peluang yang baik untuk dicalonkan semula di Kota Raja – kawasan yang ditandinginya pada PRU 2008 tetapi tewas kepada calon Pas. Vikneswaran yang merupakan seorang pemimpin lantang dan berani dikatakan sudah “membaca” segala implikasi politik PRU 2008 dan sudah bersedia untuk merampasnya sekiranya diberikan peluang. Namun ianya bukan satu tugas yang mudah lebih – lebih lagi setelah MIC tewas dengan majoriti yang besar iaitu 20,751 undi pada PRU 2008.

 

KEDAH, PERAK, SELANGOR DAN NEGERI SEMBILAN

 

Palanivel juga dikatakan sedang memberi lebih banyak tumpuan di negeri Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang bakal menentukan kuasa politik MIC pada PRU ke 13 nanti. Pada PRU ke 12, MIC kalah di 6 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN – satu kekalahan yang paling teruk dalam sejarah MIC sebagai sebuah parti politik yang mewakili masyarakat India di negara ini . Keempat negeri terbabit mempunyai pengundi kaum India yang ramai dan boleh membantu BN menang.

 

Baru – baru ini Presiden MIC telah membuat pengumuman bahawa MIC tidak akan memohon tambahan kerusi pada PRU ke 13 , sebaliknya akan menumpukan kepada usaha merampas semula kerusinya yang jatuh ke tangan pembangkang.

 

GANDINGAN CALON MANTAP

 

Palanivel juga dikatakan akan meletakkan satu gandingan calon – calon yang mantap termasuk daripada generasi muda disamping mengekalkan beberapa penyandang dan pemimpin MIC yang berpengalaman. Difahamkan untuk kerusi Parlimen, parti akan meletakkan calon – calon dari peringkat Nasional manakala untuk kerusi DUN pula calon tempatan akan diutamakan.

 

Ketua Pemuda MIC T. Mogan juga dikatakan telah menghantar senarai nama – nama calon daripada Pemuda MIC kepada Presiden MIC untuk dipertimbangkan bagi PRU ke 13 nanti. T. Mogan yang kalah di DUN Batu Caves pada PRU ke 12, dikatakan mempunyai peluang untuk disenaraikan semula sebagai calon pada PRU ke 13 tertakluk kepada keadaan politik semasa. Baru – baru ini The Malaysian Times telah melaporkan T. Mogan mempunyai peluang untuk beredning di Parlimen Sungai Siput. Bagi calon Wanita MIC pula, Presiden dijangka akan meletakkan muka baru yang lebih menyerlah sesuai dengan tuntutan politik semasa.

 

Walaupun G. Palanivel masih merahsiakan kawasan pilihanya untuk PRU ke 13, pemerhati politik berpandangan beliau akan memilih satu kawasan yang sesuai dan terbaik selepas empat penggal berkhidmat di Hulu Selangor. Sebelum ini wujud pelbagai spekulasi yang menyebut beliau mengintai Parlimen Cameron Highlands.

 

Timbalan Presiden MIC Datuk Dr. S.Subramaniam yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia pula dijangka akan dikekalkan di Parlimen Segamat, Johor. Beliau dijangka akan menerima saingan sengit daripada bekas Menteri dan Naib Presiden MCA Datuk Seri Chua Jui Meng yang kini mengetuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Johor.

 

Sumber juga memberitahu The Malaysian Times, pemilihan calon kali ini akan menampilkan hampir 60 % hingga 70 % muka baru . MIC juga dikatakan sedang mencari formula yang terbaik untuk menukar beberapa kawasan dengan parti komponen BN antaranya ialah Subang dan Teluk Kemang.