From Hollywood to Bollywood, Poland lands the stars
December 12, 2014
MAS most active stock in early trade
December 12, 2014

Media diminta elak sebar berita berbaur perkauman, sensitiviti kaum

KOTA KINABALU, 12 Dis: Pengamal media diminta mengelak daripada menyebarkan berita berbaur perkauman serta menyentuh sensitiviti agama bagi memelihara perpaduan dan kemakmuran di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata menerusi ruang kebebasan yang diizinkan, media perlu mengambil sikap proaktif dan memegang prinsip beretika dalam menyebar luas maklumat yang menyentuh isu-isu perpaduan rakyat.

“Melalui penulisan berita, rencana dan artikel yang komprehensif serta menyentuh penuh isu-isu perpaduan, ia secara tidak langsung mampu memberi satu nilai tambah kepada pengukuhan pemahaman serta kesedaran rakyat khususnya golongan belia mengenai kepentingan memelihara kestabilan dan keamanan yang sedang dikecapi,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama media Sabah anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah (JPNIN).     

Kurup berkata pihaknya menghargai semua media cetak dan elektronik kerana memberikan ruang yang cukup luas terhadap penyebaran maklumat dan berita mengenai perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Katanya, sebagai ‘rakan kongsi dalam perpaduan’ dan bagi memastikan usaha penyatuan nasional kerajaan berjaya, media perlu sentiasa memastikan setiap mesej yang disalurkan lebih bertanggungjawab serta disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat.

“Perkara ini amat penting untuk mengelakkan timbulnya perselisihan faham atau tersalah anggapan dalam kalangan masyarakat apabila pihak yang berkepentingan cuba memutarbelitkan kenyataan untuk memenuhi agenda politik mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan JPNIN akan mewujudkan suatu anugerah tahunan bagi menghargai hasil penulisan dan penerbitan yang mengetengahkan isu perpaduan negara dan integrasi nasional dalam media massa. — BERNAMA

 

Comments are closed.