J/kuasa khas majlis peguam dan k’jaan perhalusi pindaan LPA 1976 – Azalina
April 20, 2017
Two men plead not guilty to money laundering, involving more than RM2.7m
April 20, 2017

Malaysia kekal berada di kedudukan ekonomi kukuh – Ong

NILAI, 20 Apr: Malaysia kekal berada di kedudukan ekonomi kukuh dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada antara empat dan lima peratus tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata, pertumbuhan negara secara mampan akan disokong oleh pengunaan domestik yang kukuh, paras rizab luaran yang stabil, inflasi rendah dan dasar monetari yang sesuai.

“Walaupun cabaran ekonomi global menyebabkan persekitaran sukar, kita kekal kukuh dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan produk bearing baharu untuk industri pemprosesan minyak sawit dan pengumuman perluasan kilang oleh SKF Malaysia di sini, hari ini.

Ong berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia akan terus membantu dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelabur berkembang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SKF Group, Alrik Danielson, Pengarah Urusan SKF Malaysia, Anders Fogelberg serta Duta Sweden di Malaysia, Dag Juhlin-Danfelt.

Sementara itu, semasa sidang media, Ong berkata, Malaysia akan menyertai sebanyak mungkin perdagangan bebas untuk membolehkan negara membuka pasaran bukan hanya untuk pelabur tempatan malah pelaburan antarabangsa.

— Bernama

Comments are closed.