|Monday, September 1, 2014

‘Lebuhraya rakyat ‘ pula jadi modal baru politik PAS 

Oleh Tok Janggut Moden

 

Datuk Husam Musa.

PAS Kelantan kini mula mendapat ‘senjata’ baru menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) melalui pembinaan ‘Lebuh Raya Rakyat’. Muka depan beberapa akhbar nyamuk yang pro PAS menyiarkan kejayaan itu dengan tajuk ‘Lebuh Raya Percuma’ dan terpampang sekali di dada akhbar berkenan gambar Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

 

Cantik dipandang dan sedap di dengar apabila akhbar menyiarkan rakyat Kelantan mendapat ‘Lebuh Raya Percuma’ daripada kerajaan PAS Kelantan. Malah di sempadan negeri itu sebaik memasuki Gua Musang terpampang satu papan iklan untuk menunjukkan kejayaan itu.

 

Apakah benar-benar percuma lebuh raya berkenaan untuk rakyat Kelantan selepas lebih 20 tahun PAS menerajui ‘perubahan’ di Kelantan ataupun ia sekadar gimik politik, siapa saja boleh mentafsirkannya kerana di saat ini memang rakyat Kelantan amat memerlukan lebuh raya baru.

 

Cuma apa yang ingin diperkatakan, mengapa pembinaan lebuh raya bernilai RM1.8 bilion itu perlu meminta derma daripada rakyat. Apakah rakyat menjaga kebajikan kerajaan PAS Kelantan ataupun PAS yang menjaga kebajikan rakyat. Di mana slogan negara berkebajikan PAS?

 

Apakah majlis pecah tanah yang dirasmikan bagi pembinaan lebuh raya berkenaan yang menghubungkan Kuala Krai ke Kota Bharu sekadar mahu mengalih tumpuan rakyat daripada gelombang kebangkitan yang kini memihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana rakyat Kelantan sememangnya mahu lebuh raya lebih selesa berbanding jalan raya kini.

 

Jika benar kerajaan PAS Kelantan mempunyai dana yang mencukupi untuk membina lebuh raya berkenaan, mereka tidak sepatutnya membebankan rakyat dengan tanggungjawab yang sepatutnya mereka laksanakan. Cukuplah PAS mengutip derma daripada rakyat pada sesi ceramahnya saja.

 

Apabila dikritik berhubung tindakan PAS Kelantan mengutip derma daripada rakyat, maka tampillah juak-juak PAS yang juga Exco kerajaan negeri membela tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta sumbangan daripada rakyat.

 

Malah mereka mengkritik pihak yang mempersoalkan tindakan PAS itu sebagai ‘buta hati’ kerana beranggapan sumbangan bagi pembinaan jalan berkenaan adalah sedekah yang akan menjadi ‘saham akhirat’ kekal untuk selamanya.

 

Jika PAS beranggapan bahawa sumbangan untuk pembinaan jalan itu sebagai sedekah dan pahala yang berkekalan, rakyat Malaysia menyokong BN sudah lama dan paling banyak menerima pahala berkenaan barangkali jika dibandingkan dengan penyokong dan pemimpin PAS.

 

Sejak merdeka sehingga kini, sudah berapa banyak jalan raya, lebuh raya, kemudahan asas, masjid dan sebagainya dibina kerajaan yang ada hari ini untuk keperluan rakyat. Ini bermakna, UMNO, BN dan penyokongnya sudah lama buat pahala. Bahkan kemudahan disediakan kerajaan juga turut dinikmati pemimpin pembangkang.

 

Hari ini rakyat Kelantan mula memasang impian dalam masa setahun dua lagi mereka akan menyusuri lebuh raya rakyat PAS Kelantan untuk pulang berhari raya dengan ‘aman’ tanpa kesesakan lalu lintas. Tapi apa akan jadi kalau impian itu hanya tinggal impian dan pembinaan lebuh raya berkenaan sekadar majlis pecah tanah saja.

 

Kerajaan PAS Kelantan perlu sedar rakyat negeri itu yang berada di perantauan terutamanya di Kuala Lumpur mengambil masa tujuh jam bagi hari biasa untuk pulang ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan 17 jam masa perjalanan diambil untuk musim perayaan.

 

Rakyat Kelantan perlukan lebuh raya baru, rakyat Kelantan sudah jemu dengan kesesakan lalu lintas di musim perayaan selain jalan raya yang ada kini amat berbahaya. Jadi kerajaan PAS Kelantan jangan hampakan harapan rakyat. Jangan hanya sekadar menabur janji pilihan raya tetapi gagal untuk menunaikannya.

 

Selain lebuh raya rakyat, barangkali rakyat Kelantan juga ingin menyaksikan pembinaan stadium rakyat bagi menggantikan Stadium Sultan Muhammad ke IV. Apatah lagi Kelantan kini menjadi kuasa baru bola sepak negara.

 

Pembinaan stadium baru diumumkan kerajaan PAS Kelantan setelah menyaksikan kebangkitan bola sepak negeri itu di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa.

 

Bimbang Annuar Musa akan mencetuskan fenomena baru selain menarik sokongan rakyat terhadap BN, kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pembinaan stadium baru walaupun sedar sukar untuk mereka melaksanakan projek mega dengan kewangan terbatas.

 

Mungkin sekali lagi ‘sedekah’ daripada rakyat diperlukan untuk membina stadium berkenaan? Apa pun PAS Kelantan perlu sedar dengan slogan negara kebajikan mereka, masih banyak lagi kebajikan rakyat Kelantan belum terbela terutamanya berhubung isu air bersih.

 

Jadi kepada pemimpin PAS, jangan cuba wujudkan perkara baru bagi mengaburi mata rakyat, kerana rakyat Kelantan kini sudah bijak.

 

Kepada BN, ini adalah peluang dan ruang terbaik untuk mereka, ketidakupayaan PAS untuk menyediakan kemudahan berkenaan kepada rakyat Kelantan menjadi kelebihan kepada mereka kerana BN mampu untuk berkhidmat dan membela nasib rakyat.

 

*Penulis ialah kolumnis The Malaysian Times. Sila hantar pandangan anda kepada editor@themalaysiantimes.com.my