P.Pinang umum tambahan wang ihsan RM200 kepada mangsa banjir
November 14, 2017
Setiausaha Agung PPBM beri keterangan 3 jam di ROS
November 14, 2017

‘Kurang ajar’, Nazri selar larangan bertudung

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Dasar larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan hadapan sektor perhotelan di sesetengah rangkaian hotel di negara ini adalah satu diskriminasi, tindakan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

Menegaskan demikian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang larangan seumpama itu melanggar Perlembagaan Malaysia.

“Di setiap negara ada undang-undang tubuh, basic law, mana-mana aktiviti yang dilakukan di negara itu tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan negara terbabit.

“Ini merupakan satu bentuk diskriminasi kerana dalam Perlembagaan jelas menyatakan bahawa tidak boleh berlaku diskriminasi atas apa-apa alasan sekalipun sama ada agama, bangsa, bahasa dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Festival Kraf Antarabangsa (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah Swee Hee bahawa dasar itu diamalkan rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemakaian uniform di semua rangkaian hotel mereka di seluruh dunia.

​​​​​​​​​​​​​“Saya tidak fikir syarikat-syarikat antarabangsa mempunyai SOP yang melarang seseorang yang menggunakan tudung. Saya tidak percaya, alasan yang diberikan MAH adalah tidak betul.

“Kita tahu syarikat besar (rangkaian hotel) daripada Amerika Syarikat, Britain memang merupakan negara-negara yang kuat menekan hak asasi manusia, jadi kalau itu merupakan amalan mereka di negara mereka, saya tidak fikir mereka menggunakan syarat sedemikian kepada hotel-hotel mereka yang beroperasi di negara-negara lain,” katanya.

Mohamed Nazri berkata kementeriannya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu, bagaimanapun menjelaskan tidak ada keperluan untuk memanggil MAH untuk memberi penjelasan.

“Tanggungjawab kementerian dalam bidang perhotelan adalah memberi rating sahaja, dan ia tidak berdasarkan kepada pakaian, tapi kemudahan-kemudahan yang wujud di hotel.

“Jadi soal pelesenan terpulang kepada kerajaan tempatan. Mereka perlu tegas untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat perhotelan yang menggunakan syarat ini untuk beroperasi,” katanya.

Sementara itu, penganjuran kali ketiga KLICF 2017 yang bakal berlangsung 23 hingga 26 Nov ini di Dataran Putrajaya menyediakan platform perniagaan bertaraf antarabangsa kepada usahawan kraf dari dalam dan luar negara.

Bertemakan ‘Kraf Menyatukan Masyarakat’, seramai 170 usahawan kraf daripada 35 negara termasuk Argentina, Brunei, Cuba, Nepal, Maldives dan Pakistan akan turut serta dalam KLICF 2017.

Comments are closed.