|Friday, April 28, 2017

K’jaan Johor terima peletakan jawatan Abd Latif 

JOHOR BAHRU, 20 Apr: Kerajaan negeri telah menerima peletakan jawatan Datuk Abd Latif Bandi sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata beliau menghormati keputusan Abd Latif.
Dalam pengumuman yang dibuat menerusi kenyataan media yang dikeluarkan syarikat guamannya,  Adzly & Co. hari ini, Abd Latif berkata peletakan jawatan itu sebagai mengambil tanggungjawab terhadap pendakwaan yang dibuat terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Beliau juga menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri.
Abd Latif turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan exco, masyarakat Mersing dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakyat berbilang kaum serta semua pihak yang memberi sokongan kepadanya untuk melalui proses perundangan ini dengan seadil-adilnya.
“Terima kasih juga atas kerjasama erat ketua-ketua jabatan dan seluruh warga kerja di bawah portfolio saya di sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Saya memohon maaf atas segala salah silap dan kekurangan saya sepanjang kita bersama.
“Semoga Allah merahmati jasa baik kalian dan doakanlah saya serta keluarga dapat melalui tempoh sukar dengan penuh tabah dan taqwa,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Peguam Abd Latif Datuk Hasnal Rezua Merican yang dihubungi Bernama bagi mengesahkan perkara terbabit berkata peletakan jawatan itu hanya terpakai bagi porfolio anak guamnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri.
“Hanya sebagai exco  (peletakan jawatan). Masih kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau,” katanya.
Beliau juga berkata Abd Latif telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Ulu Choh, Pontian selepas membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen semalam.
Pada prosiding mahkamah semalam, Abd Latif, 51, bersama seorang perunding hartanah masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM30.3 juta.
Abd Latif bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu susulan siasatan SPRM terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.
Dia kemudian ditahan sewaktu memberi keterangan berhubung kes itu kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu di sini pada 9 Mac.   — Bernama