MAS takes royal menu to the skies
April 29, 2015
‘Pantang anak Bugis menyerah kalah’ – A Kadir Jasin
April 29, 2015

‘Keputusan Pemuda PAS P.P pukulan maut kepada Umno-BN’

Intan

KUALA LUMPUR, 29 Apr: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang buat keputusan tepat untuk menyertai semula jentera Pakatan Rakyat (PR) yang menyokong dan berkempen untuk Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang akur dengan keputusan parti merupakan “pukulan maut” kepada Umno-BN dan medianya yang amat berharap supaya isu ini berlanjutan sehingga hari pengundian.

“Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah membuat keputusan yang tepat dengan membantu jentera Pakatan untuk memastikan Umno-BN (Barisan Nasional) terus tewas di Permatang Pauh.

“Semua sayap di semua peringkat kawasan perlu sentiasa bersikap tegas dalam prinsip, dan pada masa yang sama bersikap anjal dalam setiap tindakan tanpa menjejaskan perjalanan organisasi parti yang telah dibentuk sekian lama dengan mengamalkan konsep wala’ pada keputusan parti dan jemaah (taat pada perkara yang tidak dipersetujui).

“Hanya mereka yang berjiwa besar dapat mengamal dan menghayati konsep wala’ sepenuhnya  dan tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang atas kejayaan mengekalkan semangat ini di saat yang sukar,” katanya dalam satu kenyataan.

AMK perlu minta maaf

Pada masa yang sama juga, beliau turut membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang telah mencampuri urusan PAS dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

“Untuk meningkatkan keharmonian di dalam PR, PAS Pusat mendoakan agar AMK Pulau Pinang juga boleh berlapang dada dan berfikiran matang untuk sekurang-kurangnya menarik balik kenyataan mengkritik serta campurtangan terhadap masalah dalaman PAS.

“PAS Pusat juga mengharapkan agar pimpinan tertinggi PKR diberi kekuatan untuk mengambil sesuatu tindakan dalam isu ini untuk menjernihkan lagi suasana sebagaimana yang telah dilakukan oleh para pimpinan PAS demi kejayaan bersama di Permatang Pauh.

“Diharap semua pihak di dalam PR dapat mengambil pengajaran bersama dan tindakan pembetulan susulan daripada episod ini  agar kerjasama di dalam PR dapat dieratkan dengan memperkukuhkan sikap saling menghormati dasar parti masing-masing bagi menghadapi Umno-BN yang semakin rakus dan zalim menekan rakyat,” ujar beliau.

Sebelum ini, Pemuda PAS Pulau Pinang dilaporkan bertegas untuk tidak membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri itu masih tidak memohon maaf kerana  memfitnah presiden mereka.

Walaubagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ataupun lebih dikenali dengan nama gelarannya iaitu Mat Sabu, menegaskan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang merupakan badan eksekutif tertinggi dalam organisasi PAS telah mencapai persetujuan untuk menyokong dan membantu Dr Wan Azizah bertanding di kawasan itu.

Sehubungan dengan itu, mana-mana ahli PAS termasuklah Pemuda Pulau Pinang yang ingkar dengan keputusan yang telah dicapai itu maka tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli tersebut berdasarkan peruntukan-peruntukan yang jelas termaktub dalam perlembagaan parti.

Pagi tadi, Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata hasil daripada perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang lain, mereka bersetuju untuk menyertai semula jentera Pakatan yang menyokong dan berkempen untuk Wan Azizah di PRK Permatang Pauh.

Comments are closed.