|Monday, March 27, 2017

Judi: Polis tahan 500 individu, rampas 3,353 komputer 

gari (1)

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 500 individu disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara sepanjang minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua tangkapan berkenaan dibuat oleh Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman.

Beliau berkata PDRM turut merampas sebanyak 3,353 komputer dalam operasi itu dan mengucapkan syabas kepada pasukan STAGG kerana berjaya membanteras kegiatan berkenaan.

“Syabas STAGG @PDRMsia gempur judi seluruh negara, sepanjang minggu lalu. Tangkap 500 orang dan rampas 3,353 komputer. #GoPDRMGo,” kata Khalid dalam catatan Twitter rasminya.

Khalid berkata dalam tempoh yang sama, STAGG turut menahan 575 pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut dalam operasi gempur maksiat di seluruh negara.

“Syabas lagi STAGG @PDRMsia gempur maksiat seluruh negara sepanjang minggu lalu, tangkap 575 orang GRO dan tukang urut. #GoPDRMGo,” katanya dalam satu lagi catatan Twitter beliau.

— Bernama