Salleh selar WSJ bertindak umpama ahli politik
September 13, 2016
Slow-moving traffic from Bidor to Sungkai due to maintenance work – Plus
September 13, 2016

Jangan gunakan alasan agama untuk ubah identiti ‘mak nyah’

Intan byline

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Aktivis transgender tempatan, Nisha Ayub tidak bersetuju apabila pendekatan agama digunakan untuk mengubah identiti ‘mak nyah’.

Menurutnya, Gender Identity Disoder (GID) adalah sesuatu identiti yang tidak boleh diubah seperti bertukar pakaian.

“Pendekatan agama kepada golongan mak nyah adalah amat bagus terutamanya dari segi memberi ilmu Fardu Ain contohnya seperti mengerjakan solat atau sembahyang kerana Fardu Ain dan Fardu kifayah adalah satu kemestian bukan hanya untuk mak nyah sahaja namun pada semua umat Islam tak mengira jantina.

“Namun saya tak bersetuju bila pendekatan agama digunakan untuk mengubah identiti mak nyah kerana GID adalah sesuatu identiti yang tidak boleh diubah seperti bertukar pakaian.

“Kita dilahirkan dengan GID dan ini adalah fitrah kami,” kata Nisha dalam satu kenyataan di akaun facebooknya hari ini.

Tegasnya lagi, apabila agama digunakan untuk mengubah identiti komuniti mak nyah, ia sekali gus menidakkan kewujudan komuniti ini malah impaknya amat negatif dimana masyarakat akan menganggap komuniti mak nyah adalah komuniti yang negatif dan perlu dibasmi dan ini meningkatkan diskriminasi dan prejudis terhadap komuniti mak nyah.

“Keadaan ini juga akan membuat komuniti semakin dipulaukan dan mengasingkan mereka dari masyarakat umum.

“Keadaan yang tidak kondusif ini membuat komuniti mak nyah hidup dalam keadaan yang amat sukar bagi meneruskan kehidupan seperti masyarakat yang lain.

“Bagi yang bernasib baik dari segi penerimaan keluarga dan pendidikan , mereka masih mampu mendapat pekerjaan namun amat terhad dan bagi mereka yang dipulaukan keluarga dan tiada pendidikan mereka terpaksa mencari pekerjaan yg tidak mendikriminasikan identiti mereka iaitu ‘sex work’ bagi mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka yang sering dihimpit oleh sikap prejudis dan transphobia oleh segelintir masyarakat umum.

Komuniti mak nyah terpaksa hidup ‘berpura-pura untuk diterima masyarakat umum

Tambahnya lagi, komuniti mak nyah ini bukan sahaja tertekan dari segai fizikal malah dari segi mental emosi juga.

“Dari segi psikologi dan mental pula , mak nyah berasa tertekan dalam menerima keadaan diri mereka yang sebenarnya dengan kepercayaan mereka.

“Ini juga akan membuat segelintir mak nyah yang cuba sedaya upaya untuk menukar penampilan atau ekspirasi diri mereka supaya diterima masyarakat umum.

“Namun secara psikologi, mereka akan rasa tertekan kerana hidup didalam kehidupan yang ditentukan oleh orang lain dan bukan kehidupan sebenar berdasarkan GID mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Lantaran itu, aktivis tersebut berpandangan soal agama tidak perlu hanya ditumpukan kepada golongan mak nyah kerana tidak semua mak nyah lupa dengan agama dan kepercayaan mereka, sama seperti masyarakat umum di luar sana.

“Bagi saya , komuniti Mak Nyah tidak pernah ada masalah dalam menerima agama mereka atau terpesong dari agama mereka.

“Komuniti mak nyah tidak menidakkan kepercayaan mereka hanya kerana identiti mereka. Mereka masih melakukan tanggungjawab mereka dan kadangkala tersilap juga seperti juga lelaki dan wanita lain.

“Bukan semua lelaki atau perempuan yang sembahyang lima kali , menutup aurat dan tidak melakukan kesilapan dalam soal agama kan .

“Yang penting kita masih beragama walaupun kita adalah seorang mak nyah. Soal agama adalah berdasarkan pada perbuatan harian seseorang dan bukan berdasarkan gender identiti , pakaian , warna kulit ataupun bangsa .

“Soal agama adalah sesuatu peribadi diantara manusia dan penciptanya dan bukan diantara hukum manusia . Agama dan kepercayaan seseorang tidak boleh di persoalkan oleh sesama manusia.

“Hanya Tuhan sahaja yang berhak keatas umatnya,” jelas Nisha.

Comments are closed.