|Saturday, May 27, 2017

Harga mahal boleh ‘bunuh’ industri pelancongan Langkawi 

LANGKAWI, Feb 17: Jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi akan merosot jika ada pemain industri pelancongan terus mengambil sikap menaikkan harga perkhidmatan dan makanan semasa berlangsung acara-acara besar di pulau peranginan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata, sikap sedemikian menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong untuk datang semasa acara besar seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

“Malah sebelum saya menjawat jawatan ini lagi (ada) orang sudah mengatakan ‘Jangan pergi ke Langkawi’ semasa LIMA kerana harga makanan dan sewa kereta misalnya terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Malam Pelancongan Langkawi dan penerangan aktiviti-aktiviti LADA bagi tahun 2017 untuk pemain industri pelancongan di sini, malam tadi.

Menurutnya, persepsi sebegini perlu dibendung di Langkawi kerana ini tidak membantu bagi menghadapi persaingan dalam industri pelancongan yang semakin sengit sekarang. – Bernama