Beri sambutan hangat kepada kontinjen KL2017- Tunku Imran
August 12, 2017
Pain no gain as Bolt and Farah’s farewell party falls flat
August 13, 2017

Gandingan Najib – Zahid terbaik untuk memimpin negara , parti – Isa Samad

PORT DICKSON, 12 Ogos  :  UMNO Telok Kemang hari ini menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada gabungan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneraju parti dan juga negara.

Ketuanya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata melalui sokongan yang padu daripada anggota parti terhadap presiden, UMNO mampu menjadi parti lebih kuat dalam menghadapi serangan dan cabaran politik tanah air masa kini.

“Kekuatan presiden adalah penting kerana ia berkaitan dengan kekuatan parti. Saya selalu sebut anggota UMNO dan orang ramai supaya jangan terpengaruh dengan dakwaan bahawa kekuatan presiden dan kekuatan parti adalah perkara yang berlainan.

“Bagi UMNO ia berkaitan… kuat presiden, kuat parti dan lemah presiden, maka lemahlah parti. Sepanjang 71 tahun saya dalam UMNO, saya melihat UMNO masih kukuh kerana kita mempertahankan presiden,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Telok Kemang oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini hari ini.

Mohd Isa berkata jika budaya itu diteruskan, UMNO akan kekal kukuh kerana keyakinan teguh anggota terhadap presiden mendorong orang ramai untuk turut menyokong parti berkenaan.

Katanya sokongan padu UMNO terhadap Najib itu harus turut dizahirkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Parti komponen perlu mempunyai fahaman yang sama dengan UMNO… bermakna presiden parti dalam komponen mesti mendapat sokongan penuh daripada anggota parti mereka.

“Alhamdulillah setakat ini nampak bagus. Daripada dulu pun (begitu) dan kalau mereka memiliki sokongan penuh dan kuat, mereka mesti beri sokongan kepada kepimpinan perdana menteri selaku pengerusi BN dan ini amat penting,” katanya.

Terdahulu, Mohd Isa dalam ucapannya berkata keutuhan UMNO adalah disebabkan seluruh anggota parti dan masyarakat Melayu masih yakin bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang dapat menyelamatkan bangsa Melayu, Islam dan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menggesa anggota parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri.

“Kita tak boleh fikirkan tentang diri kita sendiri sahaja…kalau kita fikir tentang diri sendiri, apa akan jadi kepada parti kita, (dan) bangsa kita,” katanya.

— BERNAMA

Comments are closed.