MotoGP fans encouraged to take rapid KL shuttle buses to Sepang
October 20, 2015
Saudi Foreign Minister on two-day visit to M’sia
October 20, 2015

Ekonomi negara dijangka kekal menggalakkan pada suku ketiga

PUTRAJAYA, 20 Okt: Ekonomi Malaysia dijangka kekal menggalakkan pada suku ketiga tahun ini berdasarkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dan data perdagangan yang dikeluarkan setakat bulan Ogos, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata walaupun persekitaran dalam dan luar negara masih mencabar, lebihan dagangan pada Ogos tetap meningkat kepada RM10 bilion manakala IPP mengukuh tiga peratus pada bulan sama dan 6.1 peratus pada Julai.

“Berdasarkan kepada momentum itu juga, ekonomi negara terus berkembang tetapi pada kadar berapa akan ditentukan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Program Bicara Statistik sempena Hari Statistik Sedunia di sini hari ini.

Katanya lebihan dagangan itu mendapat manfaat daripada kelemahan ringgit yang membawa kepada peningkatan eksport yang lebih kompetitif.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara pada masa ini banyak dipacu oleh pelaburan swasta dan penggunaan swasta.

“Kerajaan sedar ia tidak mampu untuk terus memacu pelaburan dan sudah sampai masa untuk sektor swasta berbuat demikian.

“Pada tahun lepas, sumbangan pelaburan swasta meningkat kepada 64 peratus dan separuh pertama tahun ini, meningkat kepada 71 peratus dan ini akan terus digalakkan,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Statistik Sedunia hari ini, Abdul Wahid berkata ia bukan sahaja disambut di Malaysia tetapi di seluruh dunia pada setiap lima tahun.

Katanya program itu bertujuan memupuk kesedaran akan kepentingan statistik dalam kehidupan dan perancangan masa depan mana-mana negara yang sejajar dengan tema, “Data Berkualiti, Kehidupan Sejahtera”.

Beliau berkata statistik akan berperanan lebih penting pada masa depan apabila ia tidak lagi hanya dilihat dalam konteks pengumpulan data dan penyiasatan tetapi dikembangkan kepada penggunaan analitik dan data raya.

Antara cabaran bidang statistik ialah minat yang semakin menurun dalam kalangan anak muda dalam bidang Sains Teknologi dan Matematik, cara pengolahan statistik untuk lebih mudah difahami dan perluasan penggunaannya.

— Bernama

Comments are closed.