|Friday, March 31, 2017

Dr Subra tak boleh lari, wajib lalui perbicaraan 

ragunath-mic

intanbyline

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Krisis serta kontroversi  dalaman parti  MIC sejak 2013 yang ‘reda’ buat seketika selepas episod  pendamaian  yang dirancang oleh  Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk mempertahankan kepentingan poliknya  bersama sekumpulan pemimpin penyokong bekas presiden Datuk Seri G. Palanivel  tiba-tiba ‘meletup kembali’.

Ini selepas Mahkamah Rayuan semalam  memerintahkan supaya saman terhadap presiden MIC Dr S.Subramaniam dan tujuh lain berhubung konspirasi menggulingkan Palanivel dibawa untuk perbicaraan penuh.

Keputusan semalam memberikan ‘kemenangan moral’ dan suntikan semangat yang baru kepada  penyokong Palanivel  untuk menuntut keadilan  serta berpeluang untuk memanggil semua  saksi berhubung segala dakwaan  konspirasi Dr Subramaniam merampas jawatan presiden MIC daripada Palanivel.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam, bekas pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata sekiranya Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kes akan dibicarakan semula, maka pihak defendan tidak boleh membatalkan kes (strike out).

“Jika Mahkamah Rayuan dah kata akan dibicirakan semula, semua saksi kena panggil dan semua bukti akan dibawa dan mereka akan dibicarakan. tidak boleh lagi nak batalkan kes,” katanya ringkas kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Ragunath berkata demikian ketika diminta menjelaskan sama ada masih ada cara lain untuk pihak defendan untuk mengelakkan  proses perbicaraan.

subramaniam

Jelasnya lagi, masih ada cara lain sekiranya pihak defendan tidak mahu mengelakkan  perbicaraan iaitu dengan pergi ke Mahkamah Persekutuan tetapi beliau pada masa yang sama tidak berani menjamin sama ada cara itu akan berkesan ataupun tidak kerana jelasnya beliau tidak mempunyai fakta tentang kes ini.

“Saya tak ada fakta tentang kes ini jadi saya tidak boleh nak bagi komen,” ujarnya dengan ringkas.

Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan supaya saman terhadap presiden MIC Dr S.Subramaniam dan tujuh lain berhubung konspirasi menggulingkan bekas presiden Datuk G.Palanivel dibawa untuk perbicaraan penuh.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat bahawa terdapat beberapa isu dalam saman itu yang perlu dirungkai dan ditentukan semasa perbicaraan.

“Semua persoalan fakta sepatutnya telah dirungkai dan ditentukan semasa perbicaraan penuh. Ia bukan kes yang mudah dan jelas untuk dibatalkan,” kata beliau.

MIC President Dato' G. Palanivel.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap bentuk tuntutan plaintif di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan, yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Hakim Tengku Maimun juga berkata butir-butir konspirasi yang dinyatakan dalam tuntutan adalah lengkap untuk plaintif dan dalam apa jua hal tidak mewajarkan hakim Mahkamah Tinggi untuk menolak saman itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh bekas setiausaha agung MIC A.K. Ramalingam dan tujuh yang lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Julai 2016 bagi membenarkan permohonan Subramaniam dan defendan lain membatalkan saman itu.

Panel itu yang termasuk Datuk P. Nalini dan Datuk Zabariah Mohd Yusof memerintahkan kes itu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan dan mengetepikan keputusan hakim Datuk Yeoh Wee Siam.

Hakim Tengku Maimun juga mengarahkan saman itu didengar di hadapan hakim lain Mahkamah Tinggi.

Responden (defendan) ialah Subramaniam, ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) Datuk Mohamad Razin Abdullah, pegawai Akmal Yahya, Datuk S. Vigneswaran, Datuk Jaspal Singh, T. Mohan, A Sakthivel, dan peguam V. Vasanthi.

Ramalingam pada 5 Feb, 2016, memfail saman terhadap mereka berhubung dakwaan konspirasi untuk menggulingkan bekas presiden MIC Palanivel pada 2015.

Plaintif lain dalam saman itu ialah V.Ganesh, Datuk Henry Benedict Asirvatham, M.Sathiyamurthu, George Alexander Fernandez, R.M Prabu, R. Sithambaran Pillay dan V.Rajoo.

Sementara itu, TMT turut mendapatkan pandangan daripada beberapa peguam berhubung isu tersebut dimana mereka memberikan pandangan bahawa Dr S.Subramaniam tidak boleh lari daripada proses perbicaraan.–TMT