|Wednesday, March 29, 2017

Dasar majikan bayar levi pekerja asing ditangguh ke tahun depan 

pekerja-asing

PUTRAJAYA, 11 Jan: Jemaah menteri bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan dasar menuntut majikan membayar levi pekerja asing yang dikuat kuasa menurut Komitmen Mandatori Majikan (EMC) ke tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kabinet juga bersetuju untuk meneliti ekosistem yang sewajarnya bagi mempermudah industri menggaji pekerja asing dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata keputusan dibuat selepas pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan yang memberi gambaran penuh berhubung EMC.

“Ini bukan sekadar mengenai levi tetapi juga hak majikan dalam memperoleh  akses langsung kepada pekerja berbanding menggunakan orang tengah, serta bagaimana untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat pengambilan pekerja asing.

“Pada mesyuarat itu kami turut menyuarakan akan keperluan pengambilan pekerja asing ini dikawal selia dan memastikan dasar itu dapat membantu pertumbuhan ekonomi tanpa menimbulkan masalah sosial kepada kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 31 Dis lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan akan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing mereka, peraturan yang dikuat kuasa di bawah EMC.

Di bawah skim itu, majikan tidak akan dibenar memotong levi tersebut daripada gaji pekerja mereka.

Semalam peserta industri pembinaan mahu EMC dibatalkan kerana dasar itu tidak menguntungkan negara.

Liow berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk melihat sendiri isu ini dan akan menyelaraskannya dengan Kementerian Dalam Negeri serta Sumber Manusia untuk menangani apa juga halangan dan seterusnya menyelesaikan isu berbangkit.

“Kabinet adalah jelas bahawa dasar pekerja asing kita mesti segar dan berkemampuan menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing di negara ini sekarang,” katanya menambah Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing akan bermesyuarat dalam masa terdekat.

Laporan sebelum ini menyebut EMC sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Jan lalu.

— Bernama