DAP amal kronisme
Oleh Mohd Fazil
fazil@themalaysiantimes.com.my
Shah Alam : DAP baru-baru ini diminta memberi penjelasan berhubung isu pertukaran lantikan firma guaman, Firma Daim & Ghamany kepada Firma Stella Lim & Co yang melibatkan peningkatan bayaran perkhidmatan sebanyak RM40,000.
Lebih memeranjatkan, proses penukaran firma tersebut hanya dibuat dengan persetujuan tiga Ahli Majlis berbanding majoriti 17 Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Ching Eu Boon berkata, perubahan lantikan tersebut berpunca dari wujudnya amalan kronisme di dalam DAP dan ia tidak mustahil berlaku kerana Firma Stella Lim & Co dimiliki oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

“Perubahan lantikan firma ini adalah amat mencurigakan atas beberapa aspek iaitu keperluan melantik semula firma baharu, nilai yang dibayar kepada firma baharu iaitu dari RM15,000 kepada RM55,000, perkaitan firma dengan kepentingan ahli DAP dan perubahan lantikan tanpa persetujuan majoriti Ahli Majlis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamad di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Eu Boon juga memaklumkan bahawa kes yang dikendalikan adalah kes kutipan hutang berjumlah RM128,000 kepada Syarikat Maju Curry House yang gagal menjelaskan tunggakan sewa selama 13 bulan termasuk melunaskan wang cagaran.
“Memandangkan kes ini bukanlah dikelaskan sebagai mempunyai unsur jenayah maka ianya bersifat straight forward case iaitu dengan mahkamah mengeluarkan arahan untuk menjelaskan bayaran dan pihak firma menguruskan tuntutan tersebut sehingga selesai.
“Jika dinilai pada komisen 10%-20% dari jumlah kutipan hutang maka caj RM55,000 yang dibayar kepada Stella Lim & Co adalah luar dari kebiasaan,” jelasnya.
Tetuan Daim & Ghamany dilantik pada 3 Jun 2012 manakala Tetuan Stella, Lim & Co dilantik 13 hari selepas tarikh tersebut. Secara logiknya, justafikasi penukaran firma yang di kenakan bayaran sebanyak RM55,000 oleh Tetuan Stella juga melebihi had firma guaman untuk Mahkamah Rendah/Seksyen iaitu hanya sehingga RM40,000.





