|Friday, April 28, 2017

Daesh: Nombor telefon didaftarkan atas nama tertuduh – Saksi 

KUALA LUMPUR, 21 Apr: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa nombor telefon yang menggunakan talian Celcom adalah didaftarkan atas nama Mustaza Abdul Rahman, tertuduh yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Eksekutif Badan Perhubungan Agensi Penguat Kuasa, Jabatan Perundangan, Celcom Axiata Bhd Muhammad Taufiq Mohd Zaki berkata beliau memperoleh maklumat berkenaan selepas memproses nombor telefon tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci pelanggan.

“Saya menerima permohonan untuk menganalisis nombor telefon itu daripada pegawai penyiasat bernama Inspektor Aizat menerusi e-mel. Nombor telefon itu didaftar pada 3 Mei 2016 dengan pakej pasca bayar iaitu pakej ”first gold” untuk data dan panggilan tanpa had. Nombor itu didaftarkan atas nama Mustaza Abdul Rahman,” katanya.

Saksi kelapan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dalam pemeriksaan utama pada perbicaraan hari ketiga kes Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman yang didakwa bagi tiga pertuduhan itu.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (Counter Terrorism) Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Inspektor Mohamad Ridzuan Abdul Jalil memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menyerahkan seunit telefon bimbit  berwarna hitam kepada makmal forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Saksi kesebelas itu berkata telefon bimbit milik saksi terlindung dalam perbicaraan itu diserahkan kepada makmal forensik itu untuk dianalisis maklumat yang terkandung dalam aplikasi Telegram dan Whatapps perbualan kumpulan ”gagak hitam” dan ”amanah vs pas”.

“Kumpulan ”gagak hitam” dan ”amanah vs pas” dipercayai sebuah kumpulan perbualan yang menyokong pengganas,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Mohamad Mustaffa.

Mustaza, yang diwakili peguam Faizal Rahman, bertugas di bahagian pengangkutan IPD Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah dan didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu didakwa  dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram bagi kumpulan perbualan ”amanah vs pas” dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai”ah) melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ”gagak hitam” dalam telefon bimbitnya.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di blok Perumahan Polis IPD Kuala Muda antara 30 Mac hingga 29 Julai 2016.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan bersambung pada 9 dan 13 Jun depan.

— Bernama