PM, Cabinet Ministers agrees to give two months’ salary to COVID-19 Fund
March 26, 2020
COVID-19: PM expected to announce economic stimulus package today
March 27, 2020

COVID-19: 235 kes positif baharu, jumlah kematian 23 – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 26 Mac: Malaysia mencatatkan jumlah kes harian tertinggi selepas 235 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 2,031 kes dan jumlah kematian sebanyak 23 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling.

” Baki 175 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini, hari ini. 

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini terdapat 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, selain dua kes yang diumumkan menerusi Facebook Pengarah Kesihatan malam tadi dan pagi tadi, terdapat dua lagi kes baharu kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah 23 kes.

Kematian itu melibatkan empat lelaki warga Malaysia berusia antara 48 hingga 76 tahun , dengan tiga mangsa merupakan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, manakala satu lagi mempunyai latar belakang sakit kronik.

“ Kes kematian ke-20 melibatkan mangsa berusia 76 tahun yang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Disahkan meninggal dunia pada 25 Mac pukul 4.35 petang.

“Kes kematian ke-21 adalah lelaki berusia 63 tahun, dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi, 26 Mac.

“Mangsa kes kematian ke-22 berusia 48 tahun, dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.15 malam, 23 Mac.

“Kes kematian ke-23 berumur 62 tahun dari Kajang. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020. Disahkan meninggal dunia pada jam 12.37 tengah hari,  25 Mac. Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa.

“Anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat. Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan/klinik,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan ibu hamil menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan.

Katanya, perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa dan ibu bapa diminta mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

“Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan tentang kepentingan mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Comments are closed.