Ingkar PKP: 110 individu ditahan
March 25, 2020
COVID-19: Death toll rises to 20
March 26, 2020

COVID-19: 172 kes baharu, jumlah kematian di Malaysia 19

PUTRAJAYA, 25 Mac: Terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes, manakala kematian akibat wabak itu kini berjumlah 19 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Manakala baki 101 kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan discaj dari wad adalah 199 kes.

Setakat ini, terdapat 73 anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dikesan positif COVID-19 dan berdasarkan siasatan, punca jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif COVID-19,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata seramai 1,895 anggota KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, dan 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.—Bernama

Comments are closed.