|Wednesday, June 19, 2013

Calon pemuda MIC bagi PRU ke 13 menjadi tumpuan 

OLEH : ERNA MOHD YUSOF

 

KUALA LUMPUR April 23- Pergerakan Pemuda MIC telah menyerahkan senarai nama calon yang mewakili pergerakan tersebut kepada Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel untuk dipertimbangkan bagi pilihanraya umum ke 13.

 

Ketuanya T.Mogan bagaimanpun enggan mendedahkan “identiti” senarai nama calon tersebut kepada The Malaysian Times apabila ditanya mengenai bakal calon yang telah diserahkan kepada Presiden parti.

 

“Saya tidak boleh mendedahkan senarai nama mereka secara umum . Terpulang kepada Presiden MIC untuk membuat pertimbangan dan keputusan. Kita perlu menghormati keputusan Presiden “, katanya kepada The Malaysian Times hari ini ketika dihubungi hari ini.

 

T.Mogan menjelaskan bahawa pemilihan calon dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk senioriti, pengalaman, pendidikan dan kelebihan masing-masing. Calon-calon muda juga akan dipilih jika mereka layak dan berkebolehan dan memenuhi criteria “winnable candidate”, katanya lagi.

 

Pada PRU 2008 , Pemuda MIC diperuntukkan dua kerusi Parlimen iaitu Kota Raja dan Subang manakala tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Caves, Kahang dan Gambir.

 

Bekas Ketua Pemuda MIC S.A.Vikneswaran tewas di Kota Raja manakala S.Murugessan yang ketika itu Setiausaha Pemuda MIC tewas di Subang. T.Mogan pula tersungkur di Batu Caves dalaman penampilan sulungnya. Dua calon MIC yang lain M. Asohan yang kini merupakan Exco kerajaan negeri Johor menang di DUN Gambir manakala R. Vidyanathan menang di DUN Kahang di negeri Johor.

 

The Malaysian Times difahamkan T.Mogan telah menyerahkan beberapa nama calon yang berpotensi yang difikirkan sebagai winnable candidate untuk dipertimbangkan oleh Presiden parti termasuk Naib Ketua Pemuda V.Mugilan ,Setiausaha Pemuda C. Sivaraj, Bendahari Pemuda J.Thinakaran yang juga merupakan Ketua Pemuda Pulau Pinang dan Ketua Pemuda Pahang A.Sivakumar.

 

Pemuda MIC juga dikatakan menaruh harapan yang tinggi diperuntukkan kerusi yang lebih pada PRU ke 13 nanti berdasarkan prestasi mereka. Masih menjadi “teka keki” mengenai masa depan dan hala tuju T.Mogan pada PRU ke 13 nanti walaupun wujud pelbagai spekulasi bahawa berkemungkinan besar beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Siput sepertimana yang dilaporkan oleh The Malaysian Times baru – baru ini.

 

Malah sumber dalaman parti juga memberitahu T.Mogan menaruh minat untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan tertinggi parti. “ Saya menyerahkan kepada Presiden parti Datuk Seri G.Palanivel untuk memutuskan segala perkara mengenai calon Pemuda.”, katanya.

 

Sementara itu , T.Mogan berkata Pemuda MIC berhasrat mencapai sasaran lebih 65 % pengundi bagi memastikan kemenangan MIC dan juga BN. Beliau turut menjelaskan Pemuda MIC sudah bersedia untuk mengharungi cabaran PRU ke 13 dan baru-baru ini Pemuda MIC telah mengadakan bengkel PRU ke-13 bagi membincangkan tentang isu-isu semasa dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan. Bengkel itu telah membincangkan cara – cara dan formula untuk menangkis segala taktik kotar pembangkang .