Popular Bung Mokhtar to leave politics unless…
July 6, 2013
Walk your talk, MCA dares Anwar
July 6, 2013

Syed Ali desak Shahrizat undur, Azalina lebih berkemampuan

KUALA LUMPUR, 6 Jul: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia perlu diberikan ‘nafas baru’ sebagai usaha transformasi untuk menjana perjuangan yang lebih berkesan ke arah pembelaan golongan wanita bersesuaian dengan perkembangan politik masa kini.

Petikan dalam blog rasmi Syed Ali menyatakan, sehubungan itu beliau berpendapat, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang ada sekarang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya memberi laluan kepada muka baru jika ada pihak yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Pada hemat saya, sudah sampai masanya Shahrizat berundur dan memberi laluan kepada tokoh baru untuk mengetuai pergerakan wanita dengan mengambilkira faktor dan senario semasa terutama ketika UMNO memerlukan penambahbaikan kesan daripada PRU ke-13,” jelasnya.

Blog beliau juga menyentuh mengenai desas-desus yang tersebar luas bahawa bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia mencabar Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan parti tidak lama lagi, beliau berkata :

“Sesiapa sahaja berhak untuk merebut jawatan berkenaan termasuk Azalina, tidak ada halangan atau sekatan, perwakilan wanita bertanggungjawab untuk melakukan perubahan kepada parti.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang kata Syed Ali, mempunyai kriteria, pengalaman dan ketokohan untuk menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia jika Shahrizat memilih jalan untuk melepaskan jawatan tersebut.

Tambah Syed Ali lagi, sudah sampai masanya hala tuju sayap terpenting UMNO itu diterjemahkan secara lebih jelas, telus dan terbuka supaya realiti perjuangannya dapat dihayati secara lebih konsisten oleh ahli-ahlinya.

Beliau berkata, penilaian arah tuju perjuangan Wanita UMNO yang selama ini dijuruskan kepada wanita di kawasan luar bandar perlu diubah dengan turut diberikan perhatian terhadap lokaliti kawasan bandar dan pinggir bandar sejajar dengan iklim politik hari ini.

“Apabila kita bercakap soal Wanita UMNO, secara spontan kita terarah kepada perjuangan kaum ibu di luar bandar, persepsi itu perlu diubah dengan mengambilkira sumbangan wanita bandar dan pinggir bandar terhadap pembangunan politik di negara ini,” tegasnya.

Bagaimanapun jelas beliau, perubahan itu bukan bermakna secara langsung meminggirkan sumbangan, peranan dan pengorbanan yang selama ini telah dicurahkan oleh wanita UMNO di luar bandar yang terbukti telah banyak memainkan peranan mengekalkan status-quo UMNO terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.

“Kita mahukan pembabitan secara menyeluruh dari segi peranan dan sumbangan wanita UMNO supaya kehadirannya benar-benar dapat dirasai sama ada di kampung, bandar dan pinggir bandar, ini yang memerlukan perubahan kepimpinan dan nafas baru dalam pergerakan tersebut,” tegasnya.

Azalina miliki kriteria, pengalaman, ketokohan

Tambah Syed Ali lagi, perubahan kepimpinan dan ‘sentuhan’ yang lebih mesra amat diperlukan dan wajar dilakukan secara drastik dalam usaha memperkasakan hala tuju perjuangan Wanita UMNO supaya pendekatannya lebih dihayati oleh golongan sasaran.

Pada waktu yang sama, Syed Ali juga tidak menafikan ‘kehilangan jawatan’ Shahrizat dalam politik seperti Ahli Parlimen dan jemaah menteri dilihat salah satu realiti yang mewajarkan untuk beliau berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada calon yang lebih berwibawa.

Lagipun kata beliau, dengan tidak ada seorang pun wakil daripada wanita UMNO yang dilantik sebagai menteri dalam penyusunan kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru telah menimbulkan kekecewaan dan ‘putus harap’ ahli-ahli wanita UMNO terhadap kepimpinan Shahrizat.

“Saya dimaklumkan oleh wanita UMNO di peringkat akar umbi bahawa mereka amat kecewa dan terkilan kerana Shahrizat gagal berfungsi sebagai seorang ketua bagi memastikan sekurang-kurangnya seorang atau dua Ahli Parlimen daripada wanita UMNO dilantik sebagai menteri kabinet,” tegasnya.

Kata beliau, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dalam sejarah perjuangan politik wanita UMNO dan ini secara tidak langsung kredibiliti kepimpinan Shahrizat telah tercalar disamping menimbulkan kekecewaan di kalangan ahlinya.

“Ini juga jelas membuktikan bahawa Shahrizat sudah tidak lagi berkemampuan untuk memimpin pergerakan tersebut, malah ada yang mendakwa bahawa beliau hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri dan sewajarnya perlu berundur,” tambahnya.

Shahrizat gagal, tidak ada seorang pun wanita UMNO dilantik jadi menteri

Tentang Azalina, Syed Ali berkata, berkemungkinan mempunyai misi dan agenda tersendiri dalam usaha beliau melakukan perubahan kepada masa depan dan hala tuju perjuangan wanita UMNO bersesuaian dengan perkembangan politik masa kini.

“Pada saya, jika Azalina dilihat lebih berkemampuan untuk membawa perubahan kepada perjuangan wanita UMNO sejajar dengan transformasi politik negara, mengapa tidak diberikan peluang kepada beliau,? tambahnya.

Comments are closed.