|Monday, November 24, 2014

Bajet 2013 penentu kemenangan BN dan masa depan Najib? 

Oleh AZK Hang Tuah

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pengumuman 28 September sebagai hari pembentangan Bajet 2013 mungkin menjawab kepada persoalan bila PRU-13 akan diadakan.Parlimen hanya akan dibubarkan selepas Bajet diluluskan? Maknanya, pilihan raya tidak akan diadakan pada Jun atau Julai seperti ramalan ramai tok nujum politik.Paling awal mungkin dua minggu selepas Bajet dibentang dan diluluskan. Mungkin juga pada Oktober, November atau Disember.

 

Mungkin juga tahun depan sebelum tempoh Parlimen sekarang berakhir pada Mac 2013.Namun kini satu lagi persoalan timbul. Kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak belum mahu atau belum boleh membubarkan Parlimen? Jika mahu mencari jawapannya, tentu ramai yang mempunyai teori yang tersendiri dan percaturan yang masing – masing.

 

Antaranya, mungkin Barisan Nasional (BN) belum bersedia. Atau mungkin peluang untuk menang lebih dua pertiga masih samar. Atau mungkin Najib dan BN memerlukan lebih banyak masa untuk memastikan BN menang besar.

 

Tetapi gendang perang sudah dipalu bagi menggerakan seluruh ahli parti BN menghadapi apa yang digelar ibu segala pilihan raya.Harga pilihan raya yang perlu dibayar oleh BN amat mahal. Ia umpama peperangan. Jika kalah bermakna era BN mungkin akan berakhir Jika menang sekadar majoriti mudah pula bermakna, BN dan pentadbiran Najib amat lemah serta senario politik negara tidak stabil sepertimana sekarang .

 

Ia bukan pandangan penulis, sebaliknya ia adalah kenyataan Najib sendiri yang menyatakan bagi melengkapkan segala perancangan transformasi dan matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan BN memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

 

Oleh itu, Najib kelihatan memerlukan lebih banyak masa. Masa yang diperlukan bukan sahaja untuk meyakinkan pegundi memangkah BN, malah lebih penting meninjau kekuatan Pakatan Rakyat (PR). Dalam tempoh masa tiga tahun ini, selepas mengambil-alih kepimpinan negara, Najib terpaksa bertarung dengan kepantasan masa untuk melaksanakan yang terbaik untuk Malaysia dan juga BN.

 

Agak sukar sekali untuk mana – mana pemimpin untuk melakukan “silap mata politik” dalam tempoh yang singkat, namun Najib telah berjaya melakukan satu perubahan yang drastik sehingga rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengakui “faktor Najib” berjaya memberikan semula satu suntikan semangat baru untuk negara dan BN selepas PRU 2008.

 

Bagaimana pula kekuatan PR? Secara kasar nampak tidak kuat, tetapi jika diselami, mereka sebenarnya menerima banyak sokongan rakyat. Mungkin itu yang menyebabkan Najib was-was untuk membubarkan Parlimen.

 

Walaupun wujud pelbagai permasalahan dalaman dikalangan parti komponen PR sehingga boleh menjejaskan imej mereka khususnya kekurangan”disiplin politik” diantara mereka tetapi demi mencapai kemenangan di PRU -13, PR amat licik dalam menutup kelemahan mereka. Bagi mereka, prinsip dan pendirian politik umpama “touch and go” semata – mata untuk kepentingan politik sahaja.

 

Mungkin juga gula-gula yang ditawarkan kerajaan setakat ini belum mampu menarik minat rakyat. Seperti kata Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek baru-baru ini bahawa kerajaan perlu memberikan BR1M pusingan kedua kepada rakyat.

 

Jika begitu pandangan Soi Lek, maka tidak mustahil Bajet 2013 akan memberikan lebih banyak gula-gula kepada rakyat. Jika bukan BR1M II, ia mungkin dalam bentuk lain. Mungkin kali ini berkaitan pengurangan cukai yang akan memberi manfaat kepada kumpulan pekerja sektor awam dan swasta. Tidak mustahil hadiah istimewa kepada kakitangan kerajaan sama ada dalam bentuk bonus atau skim perkhidmatan yang lebih baik.

 

Ini tidak mustahil kerana sokongan lebih 1.4 juta kakitangan awam antara undi yang diperlukan oleh BN untuk kekal memerintah. Tambahan pula masih banyak tuntutan CUEPACS yang belum ditunaikan oleh pentadbiran Najib.

 

Bagaimanapun, paling penting bagi Najib, tempoh yang lama sebelum PRU-13 adalah masa paling sesuai baginya menyelesaikan masalah dalaman parti. Ini bakal menjadi agenda utama kerana UMNO tidak mahu pisang berbuah dua kali, iaitu kemelut dalaman menjadi duri dalam daging yang menyebabkan parti Melayu itu kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya lalu.

 

Tambahan pula, walaupun MCA telah melakukan yang termampu dan terbaik untuk menarik sokongan masyarakat Cina tetapi agak sukar sekali untuk “mengesahkan” perkembangan tersebut dapat diterjemahkan melalui kertas undi yang memihak kepada BN.

 

MIC pula walaupun nampak lebih menyerlah dibawah kepimpinan Datuk Seri G.Palanivel yang mencorakkan gaya “terbuka ” selepas persaraan Datuk Seri S. Samy Vellu , tetapi faktor calon MC untuk PRU – 13 dijangka menjadi nilai penentu bagi mengembalikan semula kekuatan MIC sebagai sebuah parti yang dominan mewakili masyarakat India di negara ini selepas PRU 2008 telah memberikan tamparan yang hebat kepada MIC sehingga kalah 6 kerusi Parlimen dan 12 DUN termasuk kehilangan sokongan masyarakat India buat pertama kali dalam sejarah pilihanraya umum negara selepas 50 tahun. Apakah perubahan politik yang akan dilakukan oleh MIC selepas ini?

 

Tidak dinafikan sokongan masyarakat India semakin meyakinkan kepimpinan BN termasuk Najib dan kajian semasa menunjukkan hampir 65 % sokongan mereka memihak kepada BN sehingga menyebabkan pihak PR tidak “duduk senang” dan mula “risau”. Malah PR juga telah mengakui perkembangan tersebut dan telah menyatakan suasana telah berubah jika dibandingkan dengan 2008.

 

Justeru, kita tunggu dan lihat saja apa gula-gula yang akan ditawarkan untuk meraih undi sama ada daripada BN sendiri atau PR. Yang pasti sekiranya komponen menrauh harapan pada faktor Najib, komponen PR pula mengharapkan faktor Anwar untuk meraih kemenangan di PRU- 13.

 

* Penulis ialah kolumnis The Malaysian Times.