|Friday, August 22, 2014

‘Baca dan dengar Ramadhan di Ikim’ 

Ikim.jpg logo

KUALA LUMPUR, 8 Jul:  Sempena kedatangan bulan Ramadhan 1434 Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengajak orang ramai untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan ibadah puasa dengan “membaca dan mendengar” hal-hal berkaitan Ramadhan.

IKIM menawarkan tiga sumber ilmu iaitu :

i) Buku “Madrasah Ramadhan : Pengajaran Dari Pelbagai Dimensi” ,

ii) Laman web IKIM www.ikim.gov.my : Artikel Khas Ramadhan

iii) IKIMfm : Rancangan Khas Ramadhan

Menurut Bernama, Datuk Nik Mustapha bin Hj Nik Hassan, Ketua Pengarah KIM ketika melancarkan buku terbaru IKIM yang mengandungi dua puluh lapan artikel (28) menjelaskan “Bahawa ibadah puasa merupakan Rukun Islam yang ketiga.

Oleh itu, ibadah ini amat penting kepada seluruh umat Islam. Dengan memahami falsafah puasa, pengisian dan amalan yang betul menurut ajaran agama Islam adalah amat dituntut oleh Allah sw.t.

Justeru itu, penulisan artikel oleh pegawai-pegawai akademik IKIM daripada Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Pusat Kajian Shariah, Undang-undang dan Politik dan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar telah mengupas pengajaran dan iktibar-iktibar dari pelbagai dimensi seperti dimensi perekonomian, kesihatan dan akhlak manusia.”

Di samping penerbitan buku “Madrasah Ramadhan : Pengajaran Dari Pelbagai Dimensi”, IKIM juga telah menyiarkan sebanyak tiga puluh sembilan artikel khas Ramadhan di laman web IKIM di www.ikim.gov.my.

Artikel –artikel ini telah disiarkan oleh tiga akhbar utama iaitu The Star (IKIM Views) , Berita Harian (Perspektif IKIM) dan Utusan Malaysia (Pandangan IKIM). Antara tajuk-tajuk artikel yang boleh dibaca oleh orang ramai adalah “Membina Momentum Menjelang Ramadhan”, “Ramadhan and Good Conduct”, “Menggapai Taqwa di Persinggahan Ramadhan”, “Renungan kembali Kepada Falsafah Zakat” dan “Ramadhan Bulan Meningkatkan Produktiviti”.

Seterusnya program “Baca dan Dengar Ramadhan di IKIM” ini digiatkan lagi dengan terbitan tujuh belas (17) Rancangan Khas Ramadhan di IKIMfm yang membawa tema “Tarbiah Ramadhan”.

Penerbitan rancangan khas ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan program-program bermanfaat dan bermaklumat. Antaranya “Kapsul Fadhilat Ramadhan” yang akan mengupas tentang hikmah ibadah puasa berdasarkan Al-Quran dan Hadith.

Kapsul-kapsul ini akan diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Rancangan-rancangan lain ialah “Jejak Prihatin”, “Islam itu Indah”, “Islam Agamaku” dan Tazkirah Ramadhan”.

Pada hari ini juga, Y.Bhg Datuk Nik Mustapha bin Hj Nik Hassan, Ketua Pengarah IKIM akan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada sembilan (9) kakitangan IKIM. “Komitmen warga kerja IKIM amat dihargai dan usaha ke arah meningkatkan kefahaman Islam adalah satu usaha yang berterusan yang akan dilakukan oleh IKIM”, justeru kerjasama secara berpasukan warga kerja IKIM amat mustahak.

IKIM akan terus berusaha menerajui pemikiran masyarakat ke arah “Memahami Islam Membina Peradaban.” Menurut Datuk Nik Mustapha, Ketua Pengarah IKIM.