|Tuesday, March 28, 2017

Aktivisma mahasiswa bukan satu jenayah 

Bersih tmt

Oleh Rahman Imuda

SAUDARA Ahmad Arifin Bin Shakimin dari UiTM Seri Iskandar menjadi mangsa ‘kezaliman’ universiti apabila dikenakan dua pertuduhan berkaitan penglibatan beliau terlibat dengan flashmob di UiTM Sri Iskandar dan kehadiran di tunjuk perasaan Bersih 5.0 yang berlangsung 19 November 2016 lepas akan didakwa pada 17 Januari ini.

Selain Arifin, sejak tiga bulan kebelakangan ini sudah ada 5 orang aktivis mahasiswa dihadapkan ke mahkamah tatatertib universiti akibat terlibat dengan perhimpunan aman. Kelima-lima orang mahasiswa ini didapati bersalah dalam perbicaraan mereka dan saya melihat kemungkinan besar saudara Ahmad Arifin akan menghadapi nasib yang sama.

Saya berpandangan keterlibatan mahasiswa di luar kampus tidak wajar dikekang oleh pihak universiti kerana mahasiswa telah mencapai usia yang matang dan boleh berfikiran secara waras dalam membuat keputusan. Ini adalah zaman mereka, biarkan mereka mencorakkan aktivisma mahasiswa tanpa sebarang gangguan dan ancaman. Berikan kuasa sepenuhnya kepada Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan mahkamah awam untuk membicarakan aktivis mahasiswa ini jika mereka didapati melakukan jenayah.

Trend yang sama akan berulang

Sejak beberapa tahun ini trend yang sama akan berulang, mahasiswa akan dibicarakan di mahkamah tatatertib universiti, kemudian mereka didapati bersalah. Apabila mahasiswa ini didapati bersalah, mereka akan memfailkan saman di mahkamah awam dan akhirnya mahasiswa itu menang. Kebanyakkan universiti seperti dengan enggan belajar sesuatu daripada trend ini, mereka tetap dengan sifat kerasanya ingin membelasah mahasiswa yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat anti-establishment.

Menjadi mahasiswa bukan sahaja bermaksud harus menghabiskan jam kredit sebelum bergraduasi tetapi bererti seorang anak muda itu memiliki tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan negara. Mengambil contoh dua pertuduhan yang dikenakan kepada saudara Arifin, kita melihat bahawa kedua-dua acara yang dihadiri Arifin ini adalah melibatkan tanggungjawab beliau sebagai seorang rakyat Malaysia.

Malaysian Offical One yang telah diumumkan oleh Department of Justice (DOJ) sehingga kini masih menjadi teka-teki, dan 5 matlamat utama tunjuk perasaan Bersih 5.0 adalah sesuatu yang berasas dan boleh membantu menjadikan negara kita lebih baik.

Keterlibatan mahasiswa dalam acara ini adalah sebagai faktor pendesak agar hasrat-hasrat kebanyakkan rakyat Malaysia boleh direalisasikan. Mahasiswa juga merupakan rakyat Malaysia yang boleh berpatipitasi dalam sistem demokrasi, dan protes merupakan sesuatu yang dijamin oleh perlembagaan. Walaupun pada hakikatnya kita boleh bertanya pada diri kita, mungkinkah protes yang berbentuk anti-establishment akan mendapat ‘sijil halal’ daripada pemerintah?

Apa yang kita perlu lakukan?

Pada era generasi Y ini, kuasa viralisasi sangat berpengarauh dalam memberi tekanan kepada sesuatu pihak. Saya berpendapat kita perlu menggunakan medium media sosial untuk memberitahu seberapa ramai yang boleh berkenaan perbicaraan ini, dan memohon simpati daripada rakyat melalui patisyen atau seumpamanya. Walaupun UiTM menggunakan Akta 174, melalui surat pertuduhan yang saya terima, saudara Arifin dibenarkan untuk membawa seorang representasi semasa perbicaraan. Inilah peluang untuk Non-Governmental Organizations (NGO) yang berkaitan dengan guaman dan undang-undang untuk membuktikan bahawa mereka berada dibelakang aktivis mahasiswa yang memerlukan.

Kos guaman selalunya melibatkan wang banyak, sesuatu yang mahasiswa tidak punya. Bantuan seperti ini pasti akan membantu moral aktivis mahasiswa yang akan didakwa untuk lebih yakin dan bersedia kerana akan diwakili oleh seseorang yang arif tentang undang-undang. Persatuan-persatuan mahasiswa yang ada pula perlu menunjukkan soladiriti yang tinggi terhadap aktivis mahasiswa yang teraniaya, paling minima yang boleh dilakukan adalah melakukan kenyataan bersama mengutuk tindakan universiti terhadap saudara Arifin.

Kita harus membuktikan bahawa mahasiswa pada peringkat nasional adalah bersaudara, apabila ada mahasiswa yang ‘dizalimi’, maka keperitannya kita akan tanggung bersama. Hari ini giliran Arifin dikenakan pertuduhan, esok lusa kemungkinan seseorang daripada persatuan kita pula yang akan dikenakan tindakan, konsep bantu-membantu itu adalah sesuatu yang tidak merugikan.

Universiti bukan kilang

Universiti adalah tempat untuk mahasiswa menimba ilmu, membina peribadi dan memperolehi kemahiran insaniah. Tempat yang suci ini bukan sekadar diciptakan untuk melahirkan pekerja-pekerja yang akan bergaji besar tetapi tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Universiti harus melayan mahasiswa seperti anak-anak yang baru mahu belajar dan mereka harus memberikan didikan kepada anak-anak ini seperti ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Pihak pentadbiran universiti harus bersifat adil dan melihat tindakan mahasiswa dari sudut ‘proses pembelajaran’ dan bukan hanya tahu membicarakan dan menghukum semata-mata.

Kembali kepada konteks mendidik mahasiswa seperti ibu bapa mendidik anak-anak, sudah menjadi lumrah, dalam ramai-ramai anak yang diberikan didikan pasti akan ada satu atau dua orang anak yang nakal dan sering melakukan kesalahan. Pada usia muda dan memegang status mahasiswa, adalah tidak salah untuk menjadi salah kerana ia merupakan salah satu proses pembelajaran.

Berlaku adil kepada anak-anak mahasiswa, tanganilah mahasiswa yang sering terlibat dengan aktiviti anti-establishment seperti mahasiswa yang terlibat dengan program-program pro-establishment, jika tidak mampu melayan dengan sama, janganlah ditekan dan dihukum berkali-kali mahasiswa yang sedang belajar ini.

Kesimpulan

Budaya menghukum dan menekan mahasiswa ini akan mewujudkan culture of fear dalam kalangan mahasiswa dan akan menyebabkan kemandulan aktivisma terus berlaku. Tapi perlu diingatkan, singa yang setiap hari ‘didera’ dan dikurung di dalam sangkar, pasti akan memberontak apabila sudah tidak tahan lagi. Sekiranya pihak universiti terus menekan dan menghukum untuk mengelakkan aktivisma mahasiswa menjadi subur, tanpa mereka sedari mereka akan menjadi pemangkin pada satu ‘force’ yang akan mengubah landskap politik Malaysia satu hari nanti.

*Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa dan mantan NYDP MPP salah sebuah universiti awam.